Kesatuan sekerja selar langkah HSBC sumber luar fungsi bank

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon.

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menyelar tindakan bank asing HSBC kerana melanggar perjanjian bersama (CA) apabila menyumberluarkan fungsi bank itu ke India, Sri Lanka dan vendor di Malaysia sehingga mengakibat kira-kira 200 pekerja kehilangan kerja.

Kesatuan itu juga mendakwa bank tersebut enggan mengadakan rundingan dengan ahli-ahlinya seperti yang dikehendaki di bawah Artikel 14 CA Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA)/NUBE.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon juga mempersoalkan tindakan Kementerian Sumber Manusia yang tidak mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

“Kesemua langkah anti-kesatuan dan eksploitasi ini berlaku di bawah pengetahuan Kementerian Sumber Manusia yang dilihat gagal menyelesaikan perkara ini walaupun kami menulis beberapa surat aduan kepada mereka,” kata Salomon dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyifatkan penyumberan luar itu sebagai tidak menghargai pekerja tempatan yang mana keuntungan diperolehi selama ini digunakan untuk memperkayakan syarikat di luar negara.

Katanya lagi, NUBE berulang kali pergi ke HSBC untuk membincangkan hala tuju bagi melatih semula pekerja yang terlibat dengan keputusan itu.

“Bagaimanapun HSBC menulis kepada kami pada 11 Nov mengatakan mereka tidak dapat memenuhi permintaan kami.

“Bank itu meneruskan agendanya membabitkan pihak ketiga untuk mengeluarkan surat pemberhentian kerja kepada pekerjanya pada 13 Nov, yang mana sama sekali tidak menghiraukan Perkara 14 dalam CA,” katanya.

Apabila dihubungi, seorang pegawai kanan sumber manusia di HSBC, Alan Sunil Netto, enggan mengulas, dan merujuk FMT ke Jabatan Komunikasi Korporat bank. Namun jabatan itu gagal dihubungi.

Sementara itu, Solomon membidas Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Stuart Milne dengan menyifatkannya sebagai “tidak bertanggungjawab dan terburu-buru” dalam membuat keputusan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada langkah menggantikan kakitangan tempatan mencerminkan komitmen HSBC di Malaysia, termasuk pelaburan RM1 bilion untuk ibu pejabatnya yang baru di TRX City.

Beliau menggesa pihak berkenaan, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia serta Bank Negara Malaysia untuk campur tangan dalam isu berkenaan.