Kongres: Pemuda PKR mahu timbalan ketua sayap diambil tindakan disiplin

Naib ketua Pemuda PKR Thiban Subramaniam (kiri) berkata tindakan timbalan ketuanya Muhammad Hilman Idham adalah berlawanan dengan peraturan parti.

PETALING JAYA: Seorang naib ketua Pemuda PKR menggesa kepimpinan parti mengambil tindakan disiplin ke atas timbalan ketuanya Muhammad Hilman Idham kerana mengheret sayap itu ke dalam pertelingkahan berhubung kongresnya bulan depan.

Hilman, dalam kenyataan terdahulu, menegaskan bahawa timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali akan dijemput sebagai perasmi kongres Pemuda PKR pada 6 Dis ini.

Thiban Subramaniam berkata, tindakan itu adalah berlawanan dengan peraturan parti.

Beliau juga berkata, keputusan Hilman mengadakan mesyuarat tanpa persetujuan majlis pimpinan Pemuda juga adalah perbuatan melampau dan tidak bertanggungjawab.

Selain itu katanya, kegagalan Hilman menghadiri mesyuarat bulanan Pemuda menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak berdisiplin.

“Mengheret parti supaya bertelingkah ke kancah media adalah tindakan yang sengaja dibuat untuk memburukkan imej parti,” katanya.

“Justeru saya dengan tegas mencadangkan Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk mengambil tindakan tegas terhadap Hilman,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Hilman berkata, kongres tahunan Pemuda PKR akan diteruskan dengan Azmin merasmikannya selari dengan tradisi parti berkenaan.

Jemputan kepada timbalan presiden PKR itu baru-baru ini ditarik balik dengan digantikan oleh bekas presiden Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi.

Secara tradisinya, timbalan presiden akan merasmikan kongres tahunan sayap Pemuda dan Wanita PKR.

Hilman mendakwa jemputan asal kepada Azmin hanyalah untuk majlis penutup kongres.

Terdahulu, beberapa pimpinan Pemuda PKR membidas setiausaha agung parti Saifuddin Nasution kerana didakwa menarik balik jemputan kepada Azmin untuk merasmikan kongres Pemudanya.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu yang diketuai oleh Hilman berkata, tindakan Saifuddin itu memberi gambaran parti tersebut dilanda krisis.

Ini kemudiannya mencetuskan perang mulut antara ketua Pemuda PKR Akmal Nasir dengan Azmin.

Azmin menyifatkan Akmal sebagai pemimpin yang lemah dan terdapatnya tangan ghaib di sebalik keputusan sayap itu menarik balik jemputan kepada beliau.