Mahkamah tolak permohonan ikat jamin 6 dituduh terlibat sindiket jual MyKad

Enam suspek sindiket MyKad digiring dari Mahkamah Tinggi di George Town bulan lepas.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan ikat jamin enam individu dituduh terlibat dalam sindiket menjual kewarganegaraan Malaysia kepada warga China.

Enam lelaki berkenaan memfailkan permohonan ikat jamin dengan mengemukakan, antara lain alasan bahawa pertuduhan dihadapi mereka di bawah undang-undang antipenyeludupan bukan merupakan kesalahan keselamatan.

Mereka pada mulanya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan tahanan tanpa bicara selama 28 hari.

Pada 3 Okt mereka mengaku tidak bersalah, sementara peguam pembelaan memfailkan permohonan untuk mencabar penahanan mereka di bawah Sosma pada 10 Okt.

Peguam bela merujuk kepada Seksyen 388 (1) Kanun Keseksaan dengan berkata, individu yang didakwa melakukan kesalahan tidak boleh jamin boleh dilepaskan dengan jaminan.

Hakim Akhtar Tahir bagaimanapun menolak permohonan itu dengan berkata, Sosma tidak terhad kepada kesalahan berkait keganasan.

“Saya tidak bersetuju dengan peguam bela bahawa wujud kesamaran dalam kes ini. Mahkamah tidak boleh membuat undang-undang baru. Saya juga tidak boleh menerima hujah pembelaan bahawa Sosma hanya untuk kes keganasan.

“Ikat jamin tidak akan diberikan dalam kes ini melainkan ia termasuk di bawah pengecualian (yang diperuntukkan di bawah Sosma),” katanya.

Beliau juga menetapkan lima hari untuk perbicaraan bermula 6 April tahun depan.

Peguam Sivahnanthan Ragava yang mewakili salah seorang tertuduh, Lai Chin Wah berkata, beliau diarahkan untuk meneruskan rayuan terhadap ketetapan itu.

Lai, 56 dituduh bersama-sama Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43 Loh Chan Cheong, 34 dan Chien Guan Chai, 36.

Mereka berdepan keseluruhan 32 tuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara 15 tahun atau denda maksimum RM500,000.

Enam individu berkenaan juga dituduh di bawah Seksyen 25(1)(i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.