Majoriti pimpinan bahagian Pemuda PKR lawan ketua, mahu Azmin rasmi kongres

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham.

SHAH ALAM: Seramai 132 daripada 196 ketua bahagian Pemuda PKR di seluruh negara bertegas mahu Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres nasional sayap itu bulan depan, selepas jemputan untuk timbalan presiden itu dibatalkan.

Keputusan itu bertentangan pengumuman Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir membatalkan jemputan kepada Azmin, walaupun majoriti pimpinan sayap itu mahu menteri hal ehwal ekonomi terbabit menjadi perasmi kongres berkenaan.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham berkata, keputusan ini dibuat kerana ia adalah tradisi parti.

Katanya, jemputan asal kepada Azmin ialah untuk menutup kongres itu.

Beliau berkata, Azmin bersetuju sejak awal lagi untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.

“Semua wakil Pemuda PKR di peringkat nasional dan cabang (bahagian) akan digerakkan untuk mempertahankan tradisi dan kelaziman PKR,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama 132 pemimpin bahagian sayap itu malam ini.

Secara tradisi, timbalan presiden PKR akan dipelawa untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda dan Wanita parti itu.

Pada 14 Nov lalu, Akmal dilaporkan berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pemuda PKR pada 20 Okt lalu membatalkan jemputan untuk Azmin kerana beliau tidak memberi jawapan selepas enam minggu surat jemputan dihantar.

Susulan itu, Pemuda PKR memilih Pengerusi Majlis Penasihat parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi kongres sayap berkenaan.

Azmin bertindak balas dengan menyifatkan wujud tangan ghaib mendorong Akmal membatalkan jemputan untuknya.

Akmal bagaimanapun menafikan tuduhan Azmin dan mendakwa sikapnya tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.

Beberapa pemimpin Pemuda PKR pula membidas Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution Ismail kerana membatalkan jemputan untuk Azmin merasmikan kongres sayap itu.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan 132 pimpinan bahagian Pemuda PKR yang diketuai Hilman mendakwa tindakan Saifuddin memberi tanggapan parti itu sedang berdepan krisis dalaman.

Hilman berkata, Pemuda PKR turut menyokong pimpinan PKR Sarawak yang enggan berganjak daripada keputusan membatalkan konvensyen negeri pada Sabtu ini.

Katanya, prinsip demokrasi, autonomi dan kebebasan bersuara perlu dipertahankan setiap pemimpin serta ahli parti.

Terdahulu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan tidak menganjurkan konvensyen pada hujung minggu ini mendapat sokongan majoriti pemimpin negeri yang bersedia dikenakan tindakan disiplin.

Minggu lalu, Majis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dalam satu kenyataan membidas Pemuda PKR kerana membatalkan jemputan untuk Azmin merasmikan kongres sayap itu pada bulan depan.

Mereka turut memutuskan Konvensyen PKR Sarawak di Miri dibatalkan, selagi isu tersebut tidak diselesaikan secara adil mengikut lunas demokrasi.

Sementara itu, Hilman berkata, majoriti pemimpin bahagian Pemuda turut diberikan penjelasan berhubung pertemuan kontroversi Azmin dengan lebih 20 ahli Parlimen Barisan Nasional kelmarin yang membincangkan isu pembangunan negara.

Katanya, Pemuda PKR turut komited mempertahankan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad daripada sebarang usaha mengancam kepimpinannya.

“Ini ialah soal mandat yang diberikan rakyat.”