Menteri tak campur urusan pemberian tender MOA, kata Sim

KUALA LUMPUR: Menteri dan timbalan menteri tidak mencampuri urusan pemberian tender berkaitan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kepada mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menolak dakwaan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka sebelum ini.

“Tidak betul…ia masih dalam proses dimuktamadkan Kementerian Kewangan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi MOA di Dewan Rakyat hari ini.

“Proses ini sedang berjalan, menteri dan timbalan menteri tidak campur dalam proses tender,” katanya.

Menurut Sim, mengikut prosedurnya, selepas tender diluluskan di peringkat MOA, ia dibawa ke peringkat MOF untuk dimuktamadkan sebelum diserahkan kembali kepada MOA untuk dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) projek kepada penerima tender yang berjaya.

Katanya menurut pekeliling baru, sebarang tender bernilai lebih RM50 juta harus dimuktamadkan MOF.

Menurut Pekeliling Perbendaharaan mengenai Perolehan Kerajaan bertarikh 29 Jun 2018, bagi perolehan melebihi RM50 juta, perolehan tersebut hendaklah diperakui “Contract Coordination Panel” (CCP) kementerian, untuk dimuktamadkan di peringkat MOF.

Terdahulu ketika sesi perbahasan, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dilaporkan mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas kementerian dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) secara rundingan terus.