Minyak sawit lebih mesra alam berbanding pesaing, kata badan pemikir Itali

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir Itali mempertahankan industri minyak sawit daripada dakwaan bahawa ia merosakkan alam sekitar dengan berkata, ia menggunakan tanah dengan cara lebih cekap berbanding industri pengeluar minyak pesaing.

Bercakap kepada FMT pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) di sini, pengasas Competere, Pietro Paganini berkata, hasil bunga matahari, canola, kacang soya dan sumber minyak sayuran lain adalah lebih rendah berbanding minyak sawit dan memerlukan tanah lebih luas untuk dikeluarkan.

Bidang penyelidikan Competere tertumpu kepada dasar pembangunan mapan.

Paganini juga berkata, minyak sawit juga mengatasi pesaingnya dari segi peluang pekerjaan kerana ia memerlukan tenaga kerja lebih banyak.

Pengasas Competere Pietro Paganini.

Katanya kebimbangan berhubung masalah penebangan hutan telah mendorong industri dan negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia dan Singapura mengambil langkah memperbaiki kemapanan rantai perbekalan industri berkenaan.

Beliau mengakui bahawa terdapatnya sejumlah pekebun kecil masih menjalankan kegiatan pembakaran terbuka dan merosakkan tanah mereka dengan pelbagai cara lain, tetapi katanya, mereka merupakan kumpulan minoriti yang semakin mengecil.

Beliau mendakwa Kesatuan Eropah memandang kelompok minoriti ini seolah-olah mereka merupakan golongan majoriti dengan berkata, ini mungkin kerana ia mahu melindungi kepentingan industri yang mengeluarkan minyak di Eropah seperti minyak bunga matahari dan canola.

Paganini berkata, Competere menyelidik pembuat biskut Itali selama empat tahun sejak 2014 ketika bermulanya kempen Kesatuan Eropah terhadap minyak sawit.

Sentimen negatif yang timbul menyebabkan banyak syarikat biskul yang kecil mengetepikan minyak sawit dan beralih kepada minyak lain, katanya.

“Mereka menjangka akan mendapat keuntungan, tetapi hanya syarikat besar yang mengalami peningkatan jualan,” katanya.