SPRM tak benar Najib lihat dokumen diserah Justo

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan dokumen yang diberikan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa Mohamad Kunyalam berkata, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sudah mengesahkan satu afidavit untuk menafikan akses Najib ke atas dokumen itu.

“SPRM tidak akan mendedahkan sebarang kandungan kerana ia adalah maklumat sulit di bawah Akta Keterangan,” katanya.

Dalam sebutan kes hari ini, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim, Collin Lawrence Sequerah, anak guamnya akan memberi respons kepada Azam menerusi satu afidavit.

“Kami akan failkan afidavit itu menjelang Selasa,” katanya.

Sequerah kemudiannya menetapkan perbicaraan bagi permohonan Najib pada 3 Dis ini dan meminta semua pihak memfailkan penghujahan mereka menjelang 30 Nov ini.

Najib mahu mendapatkan maklumat itu untuk membantunya membela diri dalam perbicaraan 1MDB yang akan bersambung 6 Jan depan.

Justo ialah pengarah yang berpangkalan di pejabat PetroSaudi di London antara Februari 2010 dan April 2011.

Beliau dilapor menyerahkan sekotak dokumen dan fail pada 2 Nov tahun lalu selepas dipanggil untuk memberi keterangan oleh penyiasat SPRM berhubung skandal kewangan 1MDB.

Beliau mendapati nama Najib disebut beberapa kali dalam 227,000 dokumen yang dimilikinya membabitkan 1MDB. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan nama Najib disebut dalam konteks apa.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014 dan menggunakan wang itu.