Suu Kyi mahu cabar tuduhan isu Rohingya di ICJ

Jurucakap parti Aung San Suu Kyi, Liga Kebangsaan Demokrasi, berkata pemimpin itu memutuskan untuk muncul di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). (Gambar Reuters)

YANGON: Aung San Suu Kyi akan muncul di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghadapi kes difailkan oleh Gambia, menuduh Myanmar telah melakukan jenayah penghapusan etnik minoriti Rohingya.

Lebih 730,000 umat Islam Rohingya telah melarikan diri ke negara jiran Bangladesh sejak tindakan pihak tentera Myanmar pada 2017.

Gambia, sebuah negara Afrika Barat, kebanyakannya Islam, memfailkan tuntutan setelah mendapat sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang terdiri daripada 57 negara.

Hanya sebuah negara boleh memfailkan kes terhadap mana-mana negara lain di ICJ.

“Myanmar telah mendapatkan peguam-peguam antarabangsa terkemuka untuk mencabar kes dikemukakan Gambia,” kata pejabat Suu Kyi menerusi Facebook.

“Penasihat negara, dalam kapasitinya sebagai menteri kesatuan luar negara akan mengetuai pasukan ke Den Haag, Belanda, untuk mempertahankan kepentingan nasional Myanmar di ICJ,” katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.

Jurucakap tentera Brigadier Jeneral Zaw Min Tun memberitahu Reuters, keputusan itu dibuat selepas tentera berunding dengan kerajaan.

“Kami, tentera, akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan dan kami akan mengikuti arahan kerajaan,” katanya.

Jurucakap parti Suu Kyi, Liga Kebangsaan Demokrasi, berkata pemimpin itu memutuskan untuk mengambil kes itu sendiri.

“Mereka menuduh Aung San Suu Kyi gagal bercakap mengenai pelanggaran hak asasi manusia,” kata jurucakap Myo Nyunt.

“Dia memutuskan untuk sendiri menghadapi dakwaan itu.”

Kedua-dua Gambia dan Myanmar adalah penandatangan Konvensyen Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid 1948, yang bukan sahaja melarang negara daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai tetapi juga memaksa semua negara penandatangan untuk menghalang dan menghukum jenayah genosida.

ICJ berkata ia akan mengadakan pendengaran awam pertama mulai 10 hingga 12 Dis ini. Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan mana-mana keputusannya.