Takkan terburu-buru mansuh Akta Hasutan, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan terburu-buru memansuhkan Akta Hasutan 1948 bagi menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum tahun lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman.

Katanya, kerajaan perlu menyelaraskan 11 undang-undang di bawah akta itu bagi memastikan tiada kelompongan untuk pihak berkuasa mengambil tindakan, sebelum ia dimansuhkan.

“Berdasarkan hasil kajian, kementerian berpandangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 hanya boleh dipertimbangkan setelah seksyen khusus mengenai kesalahan melibatkan institusi diraja, kaum dan agama tersebut dipindahkan dan dimasukkan ke dalam undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan ataupun diwujudkan undang-undang baru.

“Pada masa ini, kajian lanjut bersama Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan lain masih dijalankan bagi memastikan perkara berkaitan perlindungan institusi diraja, kaum dan agama dapat dipelihara.

“Ini bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku dan keselamatan negara terus terjamin, sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

“Kita tidak mahu bila 3 isu (institusi diraja, kaum dan agama) disentuh menyebabkan berlaku isu sensitif dan memberi masalah kepada kita apabila akta sudah dihapuskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) ingin tahu kesediaan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta adakah kerajaan akan menggubal akta baru menggantikannya untuk memastikan keselamatan negara terjamin.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) turut bertanya apa jaminan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Azis berkata, kerajaan komited memansuhkan akta itu, tetapi ia tidak dapat menetapkan tarikh khusus bila ia akan dilaksanakan.

“Kementerian telahpun menubuhkan jawatankuasa khas untuk melaksanakan kajian terhadap undang-undang berkaitan keselamatan, termasuklah Akta Hasutan 1948.

“Jawatankuasa khas yang dianggotai pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, polis, Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), termasuk badan bukan kerajaan ditubuhkan untuk menilai dan memperhalusi setiap peruntukan di dalam undang-undang berkenaan berdasarkan piawaian hak asasi manusia, selain mengenal pasti implikasi keselamatan yang akan timbul jika dimansuhkan.”