Tiada isu berkait biodiesel B10 dilapor, kata Teresa

Menteri Industri Utama Teresa Kok (tengah) dan Ketua Pengarah MPOB Ahmad Parveez Ghulam Kadir (4 dari kiri) bersama wakil syarikat kerajaan dan petroleum pada majlis menandatangani MoA hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, kerajaan tidak menerima apa-apa aduan berkaitan biodiesel B10 sejak ia diperkenalkan Feb lepas, sewaktu negara bersiap untuk memperkenalkan biodiesel B20 tahun depan.

Pada satu sidang media selepas satu acara di sini hari ini, Teresa berkata, kerajaan secara aktif melibakan pengeluar enjin asal (OEM), Persatuan Pengeluar Kereta Jepun, pelbagai kementerian dan agensi selain pemain industri berkenaan pelaksanaan biodiesel B20.

Kerajaan berusaha memperkenalkan penggunaan B20, iaitu campuran antara 20% metil ester sawit dengan 80% diesel petroleum.

Sesetengah syarikat kereta dan persatuan pengangkutan membantah rancangan pelaksanaan biodiesel B10 kerana dakwaan kesannya ke atas kenderaan.

Teresa berkata, penggunaan B20 akan memberi kesan positif ke atas harga minyak sawit, dengan merujuk kepada peningkatan semasa berikutan langkah Indonesia memperkenalkan biodiesel B30 tahun depan, selain B20 di Malaysia.

“Ia satu cara untuk meningkatkan harga. Apabila harga minyak sawit naik, seluruh rantaian nilainya akan mendapat manfaat.

“Terdapat kira-kira tiga juta orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri minyak sawit.”

Terdahulu Teresa menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan lima syarikat petroleum, iaitu Petronas Dagangan Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Petrom Malaysia Refining and Marketing Sdn Bhd, Chevron Limited dan Boustead Petroleum Matketing Sdn Bhd.

Syarikat terbabit bersetuju menjalankan reka bentuk kejuruteraan bagi menaik taraf terminal masing-masing untuk menerima B20 dan pelaksanaan B30 pada masa depan.

Kerajaan akan memperuntukkan RM35 juta bagi kajian naik taraf itu yang meilbatkan 35 terminal di seluruh negara.

Kajian tersebut yang dijangka siap beberapa bulan lagi akan menentukan kos naik taraf.

Teresa berkata, kerajaan kemudiannya akan membincangkan kos naik taraf dengan syarikat petroleum.

Katanya, wujud keperluan bagi penyediaan dana penstabilan biodiesel, yang kini sedang dibincangkan dengan Kementerian Kewangan.

Perbincangan tersebut meliputi cadangan supaya sebahagian daripada 3% cukai durian runtuh yang akan dikenakan ke atas pengeluar sebaik sahaja harga minyak sawit mencecah RM2,500 satu tan metrik disalurkan kepada dana penstabilan.

“Kementerian Kewangan telah bersetuju dan kita masih berbincang dengan mereka,” katanya dengan memberitahu perinciannya perlu dibincangkan.