Watak biar wajar, jangan perbodoh penonton, kata pelakon veteran

Pengerusi Finas Hans Isaac (bertali leher) bergambar dengan artis veteran yang hadir pada Kongres Sangga Artis Veteran 2019 di Pawagam Mini P Ramlee.

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran melihat hasrat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan penyiar mahu menetapkan bahawa pelakon muda tidak lagi akan digunakan bagi membawa watak orang tua wajar dilaksanakan.

Pelakon veteran Ahmad Tarmimi Siregar berkata, industri berkenaan tidak sepatutnya dilihat memperbodohkan penonton dengan watak yang dilihat tidak wajar.

“Sebenarnya (hasrat itu) memang wajar. Kepercayaan penonton jangan diperbodohkan kerana mereka boleh menilai.

“Riak muka biarlah sesuai dengan usia watak. Janganlah diberi watak mak, nenek atau datuk kepada pelakon muda sampai nenek dengan cucu umur pun lebih kurang sama,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas sesi bual bicara bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pawagam Mini P Ramlee di sini, semalam.

Ahmad Tarmimi Siregar

Sebelum itu Pengerusi Finas, Hans Isaac mengumumkan persetujuan pihaknya dan penyiar di Malaysia untuk memastikan tiada lagi pelakon muda yang akan disolek untuk memegang watak orang tua bermula Jan depan.

Pelakon veteran Ku Faridah Ku Shafie mengakui inisiatif itu langkah terbaik, namun berharap ia bukan sekadar cakap-cakap, sebaliknya benar-benar dilaksanakan.

“Memang itu harapan kita tapi kena tengok tahun depan macam mana. Kita berdoa semoga apa yang dijanjikan ditepati. Isu ini sudah lama disuarakan, tapi tak ada maklum balas.

“Saya mewakili kawan-kawan yang dah veteran ini sebab Mak Nani (Rosnani Jamil) pernah suarakannya dalam mesyuarat dah lama, alhamdulillah hari ini ada khabar baik,” katanya.

Ku Faridah Ku Shafie

Pelakon veteran Fadilah Mansor pula melahirkan rasa syukur dengan pengumuman itu kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib pelakon senior sepertinya.

Beliau mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini tawaran berlakon semakin berkurang dan sekiranya ada bayaran diberikan terlalu rendah.

“Memang dah susah nak dapat tawaran sekarang. Sampai berbulan-bulan lamanya tak ada kerja dan kalau ada pun tawaran bayaran diberikan terlalu rendah.

“Saya pernah ditawarkan RM300 untuk satu episod, kawan-kawan lain pun sama juga terima nasib macam saya. Kalau nak kata produksi tak ada duit, pelakon utama dibayar sampai berpuluh ribu,” katanya.

Bagi meneruskan hidup, beliau bersama anaknya kini berniaga tudung secara atas talian bagi menampung perbelanjaan.

Fadilah Mansor

Dalam sesi penerangan bersama Perkeso, pelakon dan penyanyi Jalil Hamid yang turut diundang sebagai panel sempat membangkitkan soal bayaran kepada pelakon veteran yang terlampau rendah.

“Sebagai orang lama, pelakon veteran tidak minta diri disanjung tinggi, kita tak letak diri kita tinggi tapi agak-agaklah.

“Pelakon utama dapat RM5,000, tapi kita yang pelakon sokongan ini RM500 pun susah. Ramai artis kita dilupakan. Bukan minta dihargai tapi cukuplah diingati,” katanya.