Bekas presiden Majlis Peguam Zainur, Ambiga wakili peguam negara dalam kes hina mahkamah

SHAH ALAM: Peguam kanan, Zainur Zakaria dan Ambiga Sreenivasan diberikan kebenaran khas untuk mewakili Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kes penghinaan mahkamah yang difailkan bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Zainur mengesahkan pelantikan itu dan berkata, beliau dan Ambiga hari ini hadir di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Meor Hashimi Abd Hamid dalam prosiding menghina mahkamah itu.

Zainur dan Ambiga ialah bekas presiden Majlis Peguam Malaysia.

Pada permulaan prosiding itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Adib, memberitahu hakim yang beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap pegawai peguam negara untuk mengendalikan kes itu bagi pihaknya.

Dalam prosiding sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy mewakili Thomas.

Haniff turut mengkritik tindakan Thomas melantik peguam peribadi, yang terbaru ialah pelantikan DB Naban untuk mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam saman untuk mendapatkan RM1.69 bilion tunggakan cukai daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Meor Hashimi mendengar rayuan Thomas ke atas keputusan koroner, Rofiah Mohamad, pada 27 Ogos lalu yang memberi kebenaran untuk memulakan prosiding komital difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64.

Mahkamah turut mendengar permohonan Kassim untuk menolak rayuan Thomas.

Haniff berhujah penghakiman Rofiah tidak melupuskan hak peguam negara kerana pendengaran substantif prosiding komital belum bermula.

Zainur berkata, menggugurkan permohonan itu kekurangan merit kerana belum ada keputusan dibuat dalam perbicaraan atau prosiding.

Meor Hashimi akan mengumumkan keputusannya Isnin depan.

Pada 16 Julai lalu, Kassim memfailkan permohonan sebelah pihak (ex-parte) perintah komital (hina mahkamah) terhadap Thomas atas dakwaan menghina mahkamah melalui satu afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu yang menyatakan kematian Adib bukan berpunca daripada kecederaannya.

Afidavit itu difailkan ketika inkues menentukan punca kematian Adib sedang berlangsung.

Pada 27 Sept lalu, Rofiah memutuskan “lebih 2 individu tidak dikenali ” membunuh Adib yang meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya ketika beliau dikerahkan ke lokasi rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada November tahun lalu.