Cadangan jajaran baru projek ECRL akan dibuka kepada maklum balas awam

Malaysia Rail Link mengalu-alukan maklum balas awam terhadap cadangan jajaran baru ECRL semasa Pemeriksaan Awam selama tiga bulan bermula Isnin.

PETALING JAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengumumkan cadangan jajaran baru dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu kepada orang awam semasa Pemeriksaan Awam yang akan bermula pada hari 25 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya mengalu-alukan maklum balas dan cadangan daripada orang awam terhadap jajaran Kota Bharu-Dungun (Seksyen A) yang merangkumi jarak 210.4km laluan utama, cadangan jajaran sisihan untuk masa akan datang, iaitu sepanjang 14.4km dan enam stesen penumpang atau kargo sepanjang 3 bulan Pemeriksaan Awam ECRL.

“Laluan utama Kota Bharu-Dungun atau Seksyen A yang berukuran 210.4km akan melibatkan 43.9km jajaran rel di Kelantan dan 166.5km di Terengganu.

“Cadangan jajaran sisihan sepanjang 14.4km menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan Pelabuhan Tok Bali.

“Jajaran baru ECRL untuk Seksyen A mencadangkan dua buah stesen di Kelantan, iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu akan menempatkan empat stesen iaitu di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Darwis berkata, cadangan jajaran baru untuk Seksyen A adalah selari dengan nilai kejuruteraan komprehensif yang membawa kepada penjimatan kos projek ECRL yang ditambah baik.

Jelas beliau, jajaran baru sepanjang 210.4km itu juga akan dibina di kawasan pedalaman berbanding kawasan berhampiran pantai di Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya lagi, MRL telah menerima kelulusan bersyarat Skim Keretapi bagi Seksyen A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 4 Nov 2019 dan Pemeriksaan Awam dilakukan bagi memastikan projek itu mengambil kira pendapat dan jangkaan penduduk tempatan terhadap cadangan jajaran baru.

Beliau berkata, tapak pameran untuk Pemeriksaan Awam bagi Seksyen A akan dibuka pada hari bekerja di ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur dari 25 Nov 2019 sehingga 24 Feb 2020.

“Manakala lokasi bagi Pemeriksaan Awam di Kelantan dan Terengganu akan diumumkan dari masa ke masa dalam tempoh 3 bulan.

“Kami percaya bahawa orang awam akan mengambil peluang ini untuk memberi pandangan mereka terhadap cadangan jajaran di Seksyen A semasa Pemeriksaan Awam dijalankan.

“Penduduk tempatan di laluan yang terlibat boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai projek ECRL dengan melayari laman web MRL (www.mrl.com.my) atau media sosial rasmi projek ECRL,” katanya.

Menurut Darwis, kerja penyelidikan dan kajian tanah sedang berjalan di sepanjang jajaran Kota Bharu-Dungun bagi memastikan cadangan laluan bersedia untuk kerja-kerja pembinaan sementara menunggu kelulusan Skim Keretapi untuk Seksyen A.

Beliau berkata, penyediaan Laporan Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Impak Sosial dan Laporan Penilaian Impak Warisan bagi Seksyen A untuk diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan sedang dilakukan.

Laporan itu jelas beliau, merupakan antara prasyarat bagi mendapatkan kelulusan Skim Keretapi daripada APAD.

Dalam perkembangan berkaitan, Darwis berkata, perkembangan projek ECRL secara keseluruhan kini siap 12.86% berbanding 10.18% pada Jun lalu.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan itu melibatkan terowong dan jejambat di sepanjang jajaran Dungun-Mentakab (Seksyen B) yang merangkumi jarak 223km.

“Kerja-kerja pembersihan tapak dan kerja-kerja tanah sedang giat dijalankan di beberapa tapak pembinaan di sepanjang Seksyen B yang tidak berubah dari segi jajaran pada Skim Keretapi ECRL selepas penyambungan projek ECRL yang ditambah baik pada April lalu,” kata Darwis.

ECRL merupakan sebuah projek infrastruktur nasional yang menghubungkan bandar raya dan bandar-bandar serta menaik taraf sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar di sepanjang 640 km rangkaian rel dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang.

Projek itu akan merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL, manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama bagi projek ECRL.

Projek itu dijadualkan siap pada Disember 2026 dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Putrajaya dalam masa 4 jam.