HSBC tolak dakwaan pegawai asing atasan buang pekerja tempatan

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) mendakwa eksekutif asing atasan di HSBC Bank Malaysia melayan kakitangan tempatan secara tidak adil, tetapi gergasi perbankan British itu menafikanya.

NUBE berkata, ekspatriat menjadikan “kakitangan Malaysia mangsa tanpa belas kasihan”, susulan keputusan HSBC untuk menyumberluarkan fungsinya ke India, Sri Lanka dan vendor dalam negara.

“Malang bagi pekerja Malaysia, ada ramai ekspatriat di HSBC yang mengetuai jabatan dan berdasarkan maklum balas kami terima, mereka menjadikan pekerja Malaysia mangsa tanpa belas kasihan,” kata Setiausaha Agung NUBE, J Solomon.

HSBC ketika dihubungi menafikan pencabulan hak pekerja dan ia mengambil serius dakwaan NUBE.

“HSBC kekal komited kepada Malaysia dan mengekalkan kedudukan kami sebagai institusi kewangan antarabangsa terkemuka di negara ini.

“Kami mempunyai sejarah lama di negara ini dan merancang terus berkhidmat kepada pelanggan kami dan melabur dalam kakitangan, rangkaian dan perniagaan kami,” kata Ketua Komunikasi HSBC Malaysia, Marlene Kaur kepada FMT.

Semalam, Solomon dilaporkan berkata, cubaan NUBE berunding dengan HSBC berhubung tindakan penyumberan luar itu gagal.

Beliau mendakwa kira-kira 200 pekerja tempatan kehilangan kerja, manakala yang lain akan ditugaskan semula sebelum diberhentikan.

HSBC bagaimanapun menafikan ia akan membuang pekerjanya.

“Pekerja terjejas yang memutuskan tidak memohon Skim Pemisahan Sukarela akan diberikan pilihan pekerjaan alternatif,” kata bank itu kepada FMT semalam.