Khairy nafi usul bincang isu peralihan kuasa Mahathir-Anwar

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menafikan menghantar surat kepada setiausaha Dewan Rakyat bagi mengemukakan usul berkaitan tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

“Saya menafikan menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat kepada pejabat setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul seperti dalam gambar yang disebarkan.

“Tindakan pihak yang menyamar dengan menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan suatu fitnah.

“Ia boleh menjejaskan reputasi saya sebagai ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan parti Barisan Nasional,” katanya di Facebook, hari ini.

Pagi ini tular satu tangkap layar “surat Khairy” kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah.

FMT yang memperoleh tangkap layar tersebut mendapati ia menggunakan kepala surat bekas menteri belia dan sukan itu.

Isi kandungan surat itu adalah mengenai usul untuk membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kepada ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim.

Pada perenggan pertama surat itu tertera ayat: “Saya selaku Ahli Dewan Rakyat Rembau membuat usul ini berdasarkan Peraturan 27, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.”

Di Instagramnya Kahiry pula berkata, beliau ketika ini berada di luar negara dan menggesa supaya dirinya tidak dikaitkan dengan tipu muslihat berkaitan peralihan kuasa.

“Saya tidak terlibat dan tidak berminat untuk melibatkan diri. Isu membabitkan soal peralihan kuasa ini harus diuruskan oleh Pakatan Harapan (PH). Ia tidak ada kaitan dengan saya dan parti saya.

“Saya hanya berminat untuk membahaskan dan membincangkan polisi yang boleh membantu rakyat Malaysia yang ketika ini dalam keadaan lebih susah di bawah Pakatan Harapan.

“Saya serahkan isu tipu muslihat ini kepada mereka yang berminat politik bangsawan,” katanya.

Isu peralihan jawatan perdana menteri terus membayangi kepimpinan Mahathir dengan beliau berkali-kali menegaskan akan melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Anwar seperti dipersetujui dalam kalangan pemimpin PH walaupun tarikh tepatnya tidak ditentukan.