MPSO penting untuk industri sawit Malaysia, kata penganalisis

Pemilik Palm Oil Analytics, Sathia Varga.

KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis industri minyak sawit mengalu-alukan langkah kerajaan mendorong pensijilan pengeluar domestik di bawah skim Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO).

Pemilik Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varga memberitahu FMT bahawa beliau percaya langkah itu akan membantu menjamin kemapanan industri berkenaan.

Beliau berkata, minyak sawit yang disahkan mampan popular di seluruh dunia sewaktu ia diperkenalkan 10 tahun lepas, tetapi harga premium yang dinikmatinya ketika itu telah menyebabkan popularitinya merosot di negara membangun.

Bagaimanapun beliau yakin permintaan terhadap penggunaannya dalam pelbagai industri akan bertambah berikutan peningkatan pembangunan di banyak negara.

Baru-baru ini Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, pensijilan MPSO bagi kawasan penanaman kelapa sawit mencapai angka 60% setakat bulan lepas, sementara 72.6% kilang telah disijilkan.

Varga berkata, langkah terbaru untuk memajukan biodisel juga baik untuk harga minyak sawit, tetapi pada saat sama mengingatkan bahawa dalam jangka panjang permintaan terhadap produk tersebut dicabar oleh populariti kenderaan elektrik.

Beliau berkata, pihak yang meragui manfaat MPSO harus menyedari bahawa pematuhannya bermakna penambahbaikan hak pekerja, syarat pekerjaan lebih baik dan kemapanan alam sekitar.

Katanya, keadaan pekerjaan lebih baik boleh membantu mengatasi masalah kekurangan pekerja tempatan, yang merupakan satu masalah struktural dalam industri berkenaan.

Namun kata beliau, pergantungan kuat kepada pekerja asing bukanlah masalah besar kepada industri tersebut berbanding kekaburan dasar, yang menurutnya, membangkitkan persoalan tentang kemapanan ekonominya.

Varga, yang menghadiri Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa di sini berkata, Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) menyediakan peluang kepada Malaysia dan Indonesia untuk menanngani isu tenaga kerja kerana kebanyakan pekerja asing di ladang Malaysia adalah warga Indonesia.

Beliau berkata, pekerja asing, yang kebanyakannya bekerja di ladang dan diperlukan untuk tujuan membaja, merupakan komponen penting bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan menuai.

Beliau juga merujuk kepada pergantungan negara ini kepada minyak sawit dengan berkata, ia mewakili 4.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Ia menyediakan peluang pekerjaan dan RM67 bilion nilai eksport kepada negara ini,” katanya.