Prosiding komital menteri ke atas pemimpin kumpulan hak Melayu didengar 9 Dis

Teresa Kok memfailkan saman fitnah ke atas Azwanddin Hamzah pada 8 Jan lalu atas dakwaan dia menyampaikan ucapan berunsur fitnah terhadapnya dalam satu perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor, pada 25 Dis 2018.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Dis bagi mendengar permohonan prosiding komital difailkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok terhadap Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dalam kes saman fitnah yang diselesaikan secara baik pada 29 Julai lalu.

Saman itu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Kok dengan rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Peguam, K Murali yang mewakili Kok berkata, permohonan itu difailkan pada 8 Okt lalu kerana Azwanddin selaku defendan tidak melaksanakan terma penghakiman persetujuan kes tersebut, iaitu mengemukakan permohonan maaf di 3 akhbar, iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily serta membayar kos.

“Pihak kami memfailkan prosiding permohonan komital kerana defendan (Azwanddin) tidak melaksanakan syarat tersebut dalam tempoh 45 hari, bermula dari 29 Julai,” katanya selepas pengurusan kes di kamar Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail, hari ini.

Pada 29 Julai lalu, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik selepas defendan bersetuju mengemukakan permohonan maaf di 3 akhbar, membayar kos serta menarik balik ucapan yang diterbitkan semula olehnya di media sosial.

Kok memfailkan saman itu pada 8 Jan lalu dengan mendakwa Azwanddin menyampaikan ucapan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor, pada 25 Dis 2018.

Kok mendakwa ucapan itu diterbitkan untuk menghasut orang awam, memburuk-burukkannya dan disampaikan secara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai serta secara khusus dibuat bagi mendapat publisiti murahan demi menimbulkan kekacauan dan mungkin membawa kemudaratan lain atau membahayakan plaintif secara fizikal.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi untuk menghalang defendan sama ada melalui ejen dan/atau mana-mana orang lain daripada terus berucap, menulis atau menerbitkan ucapan sama serta kos.