Ringgit menokok berbanding dolar AS didorong sentimen optimis

Perubahan keyakinan terhadap perjanjian perdagangan AS-China mungkin mengalih tumpuan kepada realiti ekonomi, namun tanpa pertumbuhan domestik, keyakinan itu tidak cukup untuk menyokong urus niaga mata wang.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong sentimen yang lebih optimis terhadap rundingan perdagangan AS-China, menjadikan ringgit sedikit lebih menarik bagi pelabur, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1670/1700 berbanding dolar AS daripada 4.1680/1710 ketika ditutup pada Khamis.

Pakar strategi pasaran Axi Trader Asia-Pasifik Stephen Innes berkata, impak kemelut perdagangan AS-China kini tidak ketara memandangkan pada masa yang sama data ekonomi serantau juga suram, terutama dari China.

“Perubahan keyakinan terhadap perjanjian perdagangan tersebut mungkin mengalihkan tumpuan mata wang kepada realiti ekonomi, malah tanpa pertumbuhan domestik, keyakinan itu sahaja tidak cukup untuk menyokong urus niaga mata wang.

“Walaupun pergerakan harga jangka pendek mungkin diniagakan atas kecenderungan kepada keyakinan terhadap perang perdagangan untuk pandangan jangka panjang, namun ia tetap berbalik kepada asas-asas yang ditunjukkan oleh data ekonomi,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0577/0610 daripada 3.0607/0633 pada Khamis dan meningkat berbanding yen kepada 3.8349/8387 daripada 3.8404/8435.

Unit tempatan juga stabil berbanding euro kepada 4.6091/6141 daripada 4.6202/6252 semalam dan naik berbanding pound British kepada 5.3813/3864 daripada 5.3946/3002.