Safawi temui peminat cilik kehilangan ibu bapa dalam nahas
Muhammad Danish Irfan, 11, terlantar di hospital hampir 2 bulan kerana kecederaan kritikal akibat kemalangan di Dungun pada 4 Okt lepas yang meragut nyawa ibu bapanya.
DUNGUN: Hasrat seorang kanak-kanak yatim piatu yang ingin menemui pemain bola sepak kesayangannya, Muhammad Safawi Rasid pada hari terakhir rawatannya di Hospital Dungun di Terengganu akhirnya tercapai.
Muhammad Danish Irfan, 11, bersama 6 beradiknya menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Norhapisah Idris, 34, dan Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun, pada 11.15 pagi 4 Okt lepas.
Kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan kritikal dalam nahas itu, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Dungun pada 30 Okt lepas.
Ibu saudaranya, Shaidah Idris berkata, Danish sangat aktif dalam sukan, terutamanya bola sepak, namun terpaksa melupakan minatnya apabila terlantar di hospital hampir 2 bulan.
“Dia memang meminati corak permainan Safawi dan keinginannya bertemu Safawi semakin membuak-buak setelah menonton perlawanan antara Malaysia dan Indonesia dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.
“Alhamdulillah, impiannya tercapai apabila Safawi sudi datang menziarahnya pagi semalam. Walaupun Danish tidak boleh bercakap dengan lancar, daripada raut wajahnya terpancar rasa gembira yang sukar digambarkan apabila bertemu idolanya itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain Danish, 6 lagi beradiknya ialah Muhammad Danial, 12, Muhammad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin, 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5, dan Dayyinah Athirah, 3.
Safawi yang dinobatkan pemain paling bernilai (MVP) buat kali kedua dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 pada Sabtu lepas, adalah anak jati Dungun.
Pemain berusia 22 tahun itu turut merangkul 2 lagi anugerah, iaitu penyerang terbaik dan pemain paling popular dalam majlis itu.
Sementara itu, Safawi ketika dihubungi Bernama berkata, beliau dimaklumkan mengenai hasrat kanak-kanak itu oleh kakak iparnya yang kebetulan bekerja sebagai doktor di Hospital Dungun.
Walaupun kepenatan kerana baru tiba di di kampungnya, Dungun, dari Johor kira-kira 10 malam Rabu, beliau tetap meluangkan masa melawat kanak-kanak terbabit kerana simpati dengan nasibnya.
Katanya, beliau ke hospital kira-kira 10 pagi semalam dengan ditemani adiknya dan meluangkan lebih setengah jam bertanya khabar serta menemani kanak-kanak itu.
“Kakak ipar beritahu yang kanak-kanak itu banyak kali sebut nama saya dan kebetulan pula saya baru balik bercuti di kampung malam semalam sementara menunggu permulaan pramusim Liga Malaysia (Liga M).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Walaupun adik Danish tak dapat bercakap banyak, beliau masih dapat mengenali saya dan ada jugalah sedikit kata-kata semangat yang saya sampaikan kepadanya,” katanya yang terharu dengan sokongan peminat cilik itu kepadanya.