Senarai kerja tiada masa depan baik untuk bimbingan kerjaya pelajar

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan berkata, berdasarkan kehendak pasaran kerja, pelajar perlu menguasai dwibahasa, asas matematik dan sains serta mengimbangi penglibatan mereka dalam sukan dan seni.

PETALING JAYA: Kesatuan guru dan sebuah kumpulan aktivis pendidikan menyambut baik keputusan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mengedarkan senarai pekerjaan tiada masa depan atau terancam kepada sekolah, yang disifatkan bantuan berguna untuk bimbingan kerjaya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, senarai itu boleh menjadi panduan kepada sekolah untuk mempersiapkan pelajar mengikut permintaan pasaran kerja.

Berkata kepada FMT, beliau berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia akan berunding dengan sektor swasta yang lebih memahami kehendak pasaran.

Katanya, guru sentiasa cuba membantu pelajar mengejar impian, tetapi sekolah berdepan “isu logistik” yang menghalang mereka daripada mempersiapkan pelajar secara berkesan untuk pekerjaan.

Tan berkata, antara masalahnya ialah kekurangan guru bahasa Inggeris dan mesin kawalan numerik komputer di kolej vokasional.

Rabu lalu, Kula dilaporkan berkata, senarai itu akan membantu pelajar menentukan kursus yang perlu dielakkan ketika melanjutkan pelajaran.

Senarai itu disediakan dengan kerjasama Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia) serta Talent Corp.

“Ledakan Revolusi Industri 4.0 memungkinkan 30% pekerjaan sedia ada ketika ini tidak lagi relevan pada masa akan datang, bermakna pelajar dan ibu bapa perlu diberi panduan agar lebih bersedia menghadapinya.

“Saya telah bercakap dengan lebih 400 guru dan majoriti mereka keliru tentang realiti semasa mengenai bidang pekerjaan yang mungkin tidak lagi relevan atau wujud dalam tempoh 3 atau 5 tahun akan datang.”

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim berkata, senarai tersebut dapat membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran senarai itu sekadar panduan kerana pasaran kerja sentiasa berubah dari masa ke masa.

Perkara yang kekal relevan, katanya, adalah keperluan pelajar menguasai dwibahasa, asas matematik dan sains serta mengimbangi penglibatan mereka dalam sukan dan seni.

Beliau turut menggesa guru menggalakkan pemikiran kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar kerana kemahiran itu yang diperlukan majikan.

“Penting untuk pelajar mempunyai semangat keusahawanan apabila peluang pekerjaan berkurangan dan syarikat pemula niaga menjadi alternatif.

“Ia juga kritikal untuk pelajar menerapkan nilai berpiawaian tinggi.”