Bersih 2.0 cadang identifikasi unik alamat pengundi atasi kesalahan, penipuan

Bersih 2.0 menemui banyak kesalahan dan penipuan data dalam senarai daftar pemilih yang diuruskan oleh SPR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bersih 2.0 mencadangkan penggunaan identifikasi unik pada setiap alamat pengudi bagi menyelesaikan isu pengurusan alamat yang dihadapi negara ini.

Badan reformasi pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, konsep tersebut adalah serupa seperti setiap warganegara yang mempunyai nombor kad pengenalan.

“Sebagaimana setiap buku mempunyai kod ISBN yang unik, warganegara mempunyai nombor kad pengenalan, setiap syarikat ada nombor pendaftaran dan setiap domain internet ada nombor IP, maka perlu ada kod identifikasi unik untuk setiap alamat hartanah.

“Identifikasi unik kepada setiap alamat walaupun tanah yang belum dibangunkan. Kilang, rumah atau flat akan mempunyai nombor unik,” katanya.

Menurutnya dengan kerjasama Jawatankuasa Pembaharuan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Bersih 2.0 akan mengadakan bengkel bagi membincangkan perkara itu.

Malah pihaknya akan menjemput pelbagai pihak, termasuk pakar berkaitan dari United Kingdom dan Australia.

Katanya, Bersih 2.0 dan badan pemantau pilihan raya lain menemui banyak kesalahan dan penipuan data dalam senarai daftar pemilih yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Banyak isu berbangkit daripada bagaimana alamat pemilih yang layak diambil dan dimasukkan oleh SPR. SPR bergantung kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengeluarkan MyKad kepada rakyat.

“JPN bergantung kepada orang ramai untuk memberikan alamat yang betul tanpa sebarang bukti dokumen kediaman sehinggalah 1 Mei 2019.

“Disebabkan kekaburan dalam banyak alamat, SPR silap memberi lokaliti hingga mengakibatkan lokaliti yang pelik hinggakan ada suami isteri diberi kawasan mengundi berbeza,” katanya.

Katanya, penipuan pendaftaran pengundi di alamat yang tidak wujud dan kepadatan bilangan pengundi yang besar dalam satu alamat juga menjadi lazim dan hanya dikesan selepas audit dijalankan.