Hak 40% ke atas hasil adalah undang-undang, kata pemimpin Sabah

Satu kumpulan pemimpin politik Sabah berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak ke atas 40% hasil yang dikutip di negeri itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Tujuh orang pemimpin politik Sabah hari ini mendesak Putrajaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membayar 40% hak hasil kepada negeri itu seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

Desakan itu terkandung dalam satu kenyataan bersama oleh ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman, Jeffrey Kitingan (Keningau), ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli Jahid Jahim, Adun Kiulu Joniston Bangkuai, bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee, bekas ahli Parlimen Tuaran Wilfred Bumbung dan bekas timbalan pengerusi MCA Sabah Francis Goh.

Mereka berkata, tuntutan itu adalah didasarkan kepada peruntukan di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual ke-10 perlembagaan.

“Peruntukan paling penting yang dipersetujui oleh nenek moyang kita ketika pembentukan Malaysia pada 1963 ialah Sabah berhak ke atas 40% daripada hasil yang dikutip di negeri ini,” katanya.

“Tanpa peruntukan itu, Sabah pasti tidak akan bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada 1963.”

Mereka berkata, Putrajaya secara konsisten mengabaikan gesaan rakyat Sabah supaya peraturan 40% itu diikuti, dan ia bercanggah dengan perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Kami sekali lagi menuntut kerajaan persekutuan melaksanakan Perkara 112C tanpa bertangguh dan apa-apa alasan lagi untuk kebaikan rakyat Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen memberitahu ahli parti itu pada konvensyen negeri hari ini bahawa Putrajaya belum memuktamadkan formula berkaitan hak hasil 40% bagi Sabah dan Sarawak.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan persekutuan membuat keputusan untuk menggandakan geran khas kepada negeri berkenaan.

Sabah mendapat jumlah tetap sebanyak RM26.7 juta setiap tahun sejak 1974, tanpa apa-apa semakan baru selepas 1969, kata pemimpin Sabah terbabit.

“Walaupun Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk mengembalikan 50% daripada semua hasil yang dikutip di Sabah, kerajaan meneruskan bayaran RM26.7 juta bagi tahun 2018 dan 2019,” kata kenyataan itu.

Mereka juga berkata, penambahan geran khas itu akan dibayar pada 2020 dan membabitkan jumlah “kecil” sebanyak RM53.4 juta.

“Pertambahan kepada RM53.4 juta itu tidak sah dari segi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.”

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan negeri supaya mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan menolak wang RM53.4 juta itu “sedangkan dari segi undang-undang dan perlembagaan Sabah berhak mendapat berbilion ringgit berdasarkan bahagian hasil 40% itu”.

Mereka berkata, kerajaan negeri perlu mewujudkan mekanisme bagi mengutip hasil yang diperolehi dari Sabah dan mengembalikan baki 60% kepada perbendaharaan persekutuan bagi memastikan Sabah mendapat setiap sen daripada hak hasil 40% negeri itu.

Menurut mereka lagi, kerajaan tidak harus membiarkan pengabaian dan pelanggaran undang-undang itu berterusan sehingga menyebabkan rakyat Sabah menderitai akibatnya.