Ahli akademik gesa rundingan terbuka fungsi Jakim

Sharifah Munirah Alatas berkata, rakyat perlu membiasakan diri dengan perdebatan dan dialog terbuka.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik mencadangkan lebih banyak rundingan terbuka ke atas fungsi pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mendakwa ia tidak mengikut ajaran Islam sebenar dan membenarkan amalan bebas beragama.

Sharifah Munirah Alatas dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempersoalkan sejauh mana Jakim menyumbang ke arah menggalakkan kemajuan Islam di negara ini.

Beliau merujuk serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang menahan 23 individu, termasuk wanita dan kanak-kanak di sebuah pusat Syiah di Gombak pada September lalu.

“Itu pencabulan hak asasi manusia dan hak umat Islam. Ia bukan sekadar isu sama ada Sunni atau Syiah mempunyai kepercayaan lebih baik atau tidak.

“Jakim tidak mengikuti ajaran Islam sebenar kerana mereka tidak membenarkan amalan agama berbeza seperti dilakukan nabi.

“Bagi saya, Jakim merosakkan masyarakat kita kerana layanan ke atas agama dan mazhab minoriti dalam Islam,” katanya kepada FMT selepas bercakap pada panel perbincangan mengenai kaum dan agama dalam forum “Malaysia: What is New?” anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau percaya masyarakat Malaysia akan menjadi ekstremis dalam 20 atau 30 tahun lagi, jika rakyat terus berfikiran sempit.

Katanya, isu ini berpunca daripada kepimpinan tidak beretika dan masalah sosio ekonomi yang tidak diselesaikan.

“Kepimpinan kita menjadi tidak yakin pada diri. Walaupun komuniti itu ialah populasi majoriti, mereka menjadi tidak yakin pada diri.”

Beliau berkata, kepimpinan semasa terus menggunakan naratif penjajah “mitos orang tempatan malas” untuk menekan orang Melayu, manakala pemimpin tidak beretika memperkayakan diri mereka.

Sharifah yang juga kolumnis FMT, berkata masalah itu berpunca daripada kemerosotan kualiti dialog dan perdebatan.

“Masyarakat perlu membiasakan diri dengan dialog. Kita perlu menggalakkan perdebatan.”

Ahli akademik dan pendidik perlu mengajar rakyat bagaimana bercakap mengenai subjek sensitif dan kontroversi “dalam cara yang kurang agresif dan provokatif…tetapi kita perlu mengadakan dialog secara konsisten”.

Dalam perbincangannya, beliau turut mencadangkan perubahan dalam sistem pendidikan, termasuk menyingkirkan menteri “kurang berprestasi”.

“Hakikatnya ialah (Menteri Pendidikan, Maszlee Malik) tidak menyedari masalah asas dalam sistem pendidikan kita.

“Beliau juga perlu bincang dengan orang ramai dan pakar akademik. Dapatkan nasihat kami, jangan asyik beritahu kami, anda sedang menubuhkan jawatankuasa ini dan itu untuk membincangkan perkara ini dan itu.”

Bagaimanapun, katanya, rakyat juga perlu mengubah sikap kerana masyarakat kurang “cara untuk berpandangan luas” dan “tidak berpandangan jauh mengenai kemajuan”.

“Kita masih bercakap mengenai halau tetamu atau orang asing. Tetapi, sebaliknya juga bercakap mengenai kecerdasan buatan.”