Kedudukan KSU kementerian didakwa sabotaj, tanya KSN, kata Salahuddin

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Kongres Benih Asia 2019, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub meminta media mendapatkan pengesahan ketua setiausaha negara (KSN) berhubung status ketua setiausaha (KSU) kementeriannya yang didakwa mensabotaj beliau berhubung isu tender baja pertanian.

Salahuddin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan pegawainya itu.

“Itu (KSU digantung atau dikenakan tindakan) tanya dengan KSN, saya tak ada pengetahuan tentang itu,” katanya ringkas pada sidang media selepas merasmikan Kongres Benih Asia 2019 di sini, hari ini.

Semalam, seorang pemimpin Amanah mendakwa KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensabotaj Salahuddin berkaitan tender bernilai RM1.4 bilion itu.

“KSU bawa naik tender baja tanpa pengetahuan menteri, lepas tu bila dapat ke syarikat Cina, Nafas merayu kepada menteri MOA dan MOF untuk dapatkan tender baja tu kerana jika tak dapat, ia beri kesan besar kepada perjalanan Nafas sebagai induk pertubuhan peladang yang punya 900,000 ahli.

“Menteri MOA pun tulis surat kepada PM mohon supaya tender diberi pada Nafas. Tapi sampai sekarang Nafas tak dapat pun surat tawaran tender yang dikatakan RM1.4 bilion tu,” tulisnya di Facebook.

Salahuddin sebelum ini mengaku menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mengesyorkan tender tersebut diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang merupakan badan induk yang mewakili peladang di seluruh negara.

Isu ini mendapat perhatian umum apabila presiden MCA yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mendakwa di Dewan Rakyat bahawa berlaku skandal dalam pemberian tender membekalkan baja padi apabila MOA membatalkan kontrak yang diberikan kepada syarikat.

Ini katanya, berikutan dakwaan bahawa seorang menteri menulis surat kepada perdana menteri supaya menyokong pemberian tender bernilai RM1.4 bilion itu kepada Nafas.

Wee seterusnya meminta pengesahan mengenai dakwaan itu, selain mempersoalkan pemberian projek secara rundingan terus kepada pertubuhan peladang itu walaupun selepas ia melalui proses tender terbuka.

Dalam perasmian kongres yang berlangsung pagi tadi, ketua setiausaha kementerian berkenaan tidak kelihatan walaupunpun nama beliau disebut oleh pengacara untuk memberi ucapan. Beliau sebaliknya diganti dengan wakil.

Pada sidang media sama, Salahuddin juga enggan mengulas lanjut berhubung ketidakhadiran pegawai berkenaan.

“Itu tanya pihak JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Saya tak ada apa-apa komen tentang itu,” katanya.

Beliau juga menolak untuk mengulas dakwaan cubaan sabotaj ke atasnya dan menyerahkan isu tersebut kepada pihak yang membuat dakwaan untuk memberi penjelasan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu tender berkait dengan Nafas bukanlah satu skandal seperti didakwa pembangkang.

“Wee Ka Siong boleh sebut di Parlimen, kerja beliau sebagai pembangkang, tapi saya dah jelaskan apa yang berlaku itu masih dalam prosedur yang telah ditetapkan dan ia bukan skandal.

“Duit atau bajet RM1.4 bilion itu di mana? Masih dalam perbendaharaan yang kita yakin akan diberikan kepada pihak Nafas. Itu sahaja, jadi bukan skandal. Skandal ini Tabung Haji, FGV, 1MDB, itu skandal. Duit masuk dalam akaun sendiri,” katanya.

Salahuddin seterusnya berkata, siasatan boleh dijalankan sekiranya benar-benar berlaku skandal berhubung kes tersebut.

“Kalau ada skandal (boleh siasat)…tak ada skandal pun. Kami harmoni sahaja di kementerian. Tak ada salah laku, tak ada apa yang berlaku. Itu kata mereka (kes ini) skandal, kami tak ada skandal,” katanya.

Salahuddin sebelum ini berkata, tindakannya menulis surat sokongan itu tidak salah kerana tender itu belum diputuskan, selain ia akan memberi manfaat kepada 920,000 ahli Nafas, bukan dirinya.