Mujahid mahu SPRM siasat dakwaan rasuah di Jakim

Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada wartawan selepas menghadiri sebuah acara di George Town hari ini.

GEORGE TOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan sebuah portal berita, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapatkan rasuah sebagai balasan untuk memberi sijil halal kepada pengeluar makanan.

Beliau mengakui siasatan dalaman sedang dijalankan, tetapi dakwaan itu mungkin “didorong perniagaan” kerana ia datang dalam bentuk kenyataan am tanpa menyatakan secara khusus.

“Logo dan pensijilan halal Jakim antara yang paling dipercayai di dunia. Sudah tentu kami kecewa mendengar cerita seperti ini dan kami sudah memulakan siasatan dalaman.

“Kami harap akan dapat gambaran lebih jelas daripada siasatan itu. Kami tidak gembira dengan dakwaan itu. Saya juga mahu SPRM menyiasat perkara ini,” katanya selepas merasmikan sebuah acara di sini, hari ini.

Pada 7 Nov lalu, portal berita berpangkalan di Hong Kong, Asia Sentinel mendakwa pegawai Jakim meminta suapan untuk mendaftarkan pengurusan dan pemprosesan daging, termasuk perniagaan kecil seperti cawangan makanan dan minuman.

Portal itu turut menamakan seorang pegawai atasan yang didakwa berada di sebalik tindakan itu.