Mujahid pertahan peruntukan RM1.3 bilion kepada Jakim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata beliau melaksanakan pembaharuan di Jakim sejak dilantik menjadi menteri.

GEORGE TOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa hari ini mempertahankan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang diberikan kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dengan mengatakan hanya 40% daripada jumlah itu yang dibelanjakan agensi tersebut.

Kata beliau, selebihnya sebanyak 60% digunakan untuk membayar gaji imam dan guru agama di seluruh negara.

Mujahid berkata, mereka yang mengkritik Jakim kerana mendapat peruntukan “terlalu banyak”, boleh mengambil alih tugas jabatan itu untuk membayar gaji pemimpin dan pendidik agama.

“Bilangan imam, guru ta’mir, guru tahfiz dan lain-lain mencecah hampir puluhan ribu orang di seluruh negara. (Sejumlah) 60% daripada RM1.3 bilion yang diberikan kepada Jakim diperuntukkan kepada mereka.

“Hanya tinggal 40% untuk Jakim. Jika ada jabatan kerajaan yang mahu mengambil alih (membayar imam dan lain-lain), dengan segala cara, dipersilakan.

“Oleh kerana anda tidak mahu Jakim memperoleh duit itu, biar orang lain membayar 60% tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Wakaf Negeri Pulau Pinang: Satu Evolusi, anjuran Jawatankuasa Majlis Peguam Pulau Pinang hari ini.

Membalas kritikan pensyarah Sharifah Munirah Alatas yang mempersoalkan bagaimana Jakim memupuk kemajuan Islam di negara ini, Mujahid berkata,
beliau telah melaksanakan pembaharuan di jabatan itu sejak dilantik menjadi menteri.

Jelas beliau, pembaharuan utama yang dilakukannya adalah dengan menukar naratif Islam kepada “Rahmatan Lil Alamin” atau Islam yang penuh belas kasihan.

Pembaharuan lain yang dilakukan, tambah beliau, termasuk peningkatan fungsi pengawalseliaan Islam di peringkat negeri dan persekutuan.