Tiba masa sambung ‘hubungan normal’ dengan Korea Utara, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad bersalam dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae In pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Korea di Busan hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan untuk menyambung hubungan Putrajaya dan Pyongyang, lebih setahun selepas beliau berkata Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Korea Utara, tertutup susulan pertikaian diplomatik akibat pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada agensi berita Korea Selatan, Yonhap, Mahathir yang kini dalam lawatan rasmi ke negara itu, berkata Putrajaya sedang berhubung dengan Korea Utara.

“Kita mahu berbaik dengan semua negara di dunia…malah Korea Utara boleh memberi sedikit perdagangan untuk kita. Kita tidak suka konfrontasi.”

Beliau menyifatkan cakap-cakap “mencurigakan” Pyongyang di sebalik pembunuhan Kim Jong Nam, tidak menjejaskan keselamatan Malaysia.

“Jadi, sekarang ialah masanya untuk menyambung semula hubungan normal Malaysia dan Korea Utara,” katanya dalam satu wawancara.

Hubungan rapat Malaysia dan Korea Utara berubah dingin, selepas Jong Nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Februari 2017, apabila 2 wanita menyapu cecair VX, senjata kimia yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ke mukanya.

Kedua-dua wanita itu dalam perbicaraan berkata, mereka diperdaya untuk mengambil bahagian dalam satu rancangan realiti dan tidak tahu mereka diberikan racun.

Amerika Syarikat dan Korea Selatan bagaimanapun mendakwa pembunuhan itu dirancang Pyongyang.

Ia disusuli pertikaian diplomatik yang menyaksikan Malaysia memanggil semula dutanya ke Korea Utara, melarang perjalanan ke negara itu dan membatalkan kemasukan tanpa visa untuk warga Korea Utara.

Korea Utara bertindak balas dengan melaksanakan larangan perjalanan sama ke atas semua rakyat Malaysia di Pyongyang.

Dalam wawancara dengan Yonhap, Mahathir berkata, pegawai Korea Utara bercadang melawat Malaysia dan kerajaan akan berbincang mengenai “masa sesuai” untuk membuka semula kedutaannya.

Beliau akhir sekali menyentuh isu itu ketika melawat Jepun pada Jun 2018, apabila mengesahkan Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang.