
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihati ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta berikutan keputusan Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan usul menghendaki semua ahli Parlimen berbuat demikian selewat-lewatnya 5 Disember ini.
Sebahagian ahli Parlimen pembangkang dilaporkan menentang usul tersebut dan berkata, mereka akan membincangkannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada untuk mengisytiharkan harta masing-masing.
Latheefa berkata, sekiranya ahli Parlimen pembangkang enggan mengisytiharkan harta, pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan.
“Jika mereka tidak mengisytiharkan harta, terserah kepada speaker bagaimana mahu mengurusnya dan mengambil tindakan.
“SPRM hanyalah penjaga perisytiharan harta. Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Jadi kita kena tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita selepas memberikan ucapan mengenai penerapan budaya anti rasuah di Kelab Bangsar Utama di sini.
Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata, semua 222 ahli Parlimen diberikan masa hingga 5 Disember untuk mengisytiharkan harta mereka, isteri, anak dewasa dan pemegang amanah.
Katanya, perisytiharan itu hendaklah dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat dan salinannya diserahkan kepada SPRM.
Ketika membacakan usul berkenaan yang diluluskan di Dewan Rakyat, beliau berkata, ia selari dengan prinsip akauntibiliti dan ketelusan.
Usul khas mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta diluluskana pada 1 Julai lepas.
Dalam pada itu, Latheefa berkata, SPRM mungkin mengambil tindakan ke atas individu yang membuat perisytiharan palsu, tetapi menjelaskan mereka belum tiba di peringkat tersebut.
“Pada peringkat ini kita hanya mengumpul maklumat. Selepas itu kita akan mengurus dan memeriksanya.
“Jika kami dapati berlakunya perisytiharan palsu dalam proses itu, kami akan mengambil tindakan.”