Kerajaan tiada hasrat gubal akta spesifik tangani kebencian agama, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk menggubal akta spesifik bagi menangani isu kebencian agama dan kaum serta diskriminasi seperti yang dicadangkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, langkah itu diambil bagi mengelak kerajaan sekarang dilabel terlalu sibuk melaksanakan undang-undang baru.

Sebaliknya kata beliau, undang-undang sedia akan diperkemas dalam usaha menangani isu melibatkan agama, kaum dan diskriminasi.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 2019 memutuskan cadangan rang undang-undang (RUU) yang pernah disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) akan disemak semula.

“Hasil semakan dan penelitian, kerajaan memutuskan beberapa peruntukan yang dicadangkan di bawah Akta Kebencian Agama dan Kaum itu diperkukuhkan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertayaan Lim Lip Eng (PH- Kepong) yang meminta perdana menteri menyatakan bilakah kerajaan akan menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum, Akta Anti Diskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian bagi menyekat polemik berkaitan agama dan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Hanipa berkata, kerajaan bersetuju mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

Katanya, proses pelaksanaannya sedang berjalan dan dijangka akan dibentangkan tahun depan selepas ia dipersetujui Jemaah Menteri.

“Sebuah Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai wakil kementerian dan agensi kerajaan berkaitan telah ditubuhkan untuk meneliti dan memperhalusi cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

“Sama ada cadangan tersebut mempunyai pertindihan dengan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 atau sebaliknya akan dikaji sebelum sebarang syor dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan berhubung penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional,” katanya.

Sementara itu ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan ketika mengemukakan soalan tambahan meminta Hanipa menjelaskan sama ada kerajaan telah membuat “U-turn” berhubung cadangan memansuhkan Akta Hasutan seperti dijanjikan memandangkan pelbagai isu berlaku di bawah pentadbiran sekarang.

Hanipa berkata, apabila “sampai masanya” pindaan itu akan dilaksanakan.