Lebih 4,000 keluarga di Wilayah Persekutuan dikategori miskin bandar, kata menteri

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, lebih 4,000 keluarga di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dikategorikan miskin bandar.

Katanya, hasil dapatan daripada sistem eKasih mendapati 1,100 keluarga tergolong dalam kategori terlalu miskin, manakala 3,000 dikategorikan miskin.

“Kemiskinan bandar sudah wujud lama, ia bukan masalah baru. Kemiskinan bandar boleh dilihat dalam pelbagai bentuk.

“Perumahan antara masalah besar kerana di beberapa tempat, masalah setinggan masih wujud,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung Seminar Pembasmian Kemiskinan Bandar hari ini.

Khalid berkata, masalah kemiskinan bandar perlu dikaji lebih mendalam, khasnya membabitkan punca dan cara penyelesaiannya.

“Kita memerlukan kaedah dan pendekatan baru untuk mengatasi masalah ini. Kita mahu idea dan cadangan bernas, yang segar dan praktikal.”

Katanya, satu lagi usaha ialah menganjurkan seminar mengenainya.

Seminar Pembasmian Kemiskinan Bandar dijadualkan berlangsung 5 Dis ini dengan 16 kertas kajian akan dibentangkan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan pemimpin masyarakat.

“Kita harap pengumpulan idea akan menghasilkan satu kaedah baru yang menyeluruh untuk mengatasi segala aspek masalah kemiskinan bandar.”