Skandal ‘land swap’, SPRM belum maklum hasil siasatan, kata Mohamad Sabu

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pihak Kementerian Pertahanan masih belum dimaklumkan sebarang penemuan dan hasil siasatan berhubung skandal 16 projek “land swap”.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk melakukan penyiasatan.

“Kementerian telah mengemukakan laporan siasatan bagi dua daripada 16 projek ‘land swap’ kepada pihak SPRM pada 21 Februari 2019, manakala laporan siasatan bagi baki 14 projek pula dikemukakan pada 16 Mei 2019 untuk siasatan lanjut pihak SPRM.

“Sehingga kini Kementerian Pertahanan tidak dimaklumkan mengenai sebarang penemuan atau hasil siasatan oleh pihak SPRM berkaitan projek tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta menteri menyatakan perkembangan berhubung isu 16 projek “land swap” yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik kementerian bernilai RM4.7 bilion.

Dalam perkembangan sama Mohamad berkata, pihak kementerian telah membentangkan kertas kepada Jemaah Menteri pada 18 September 2019 untuk mendapatkan kelulusan berhubung hala tuju skandal itu bagi projek di Hutan Melintang, Perak.

“Turut dilaksanakan pada 18 Oktober 2019 melibatkan tujuh projek yang lain bertujuan untuk mendapatkan hala tuju projek-projek tersebut,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan projek itu akan dirunding semula.

“Ada perkara kita kena minta runding semula dan pihak kementerian akan meletakkan harga yang sepatutnya, bukan mengikut kehendak pihak lain,” katanya.

Mei lalu, Mohamad berkata, hasil laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung pelaksanaan 13 daripada 16 projek “land swap” Kementerian Pertahanan mendapati ia melibatkan bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas 16 projek tersebut, JKSTUPKK mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan adalah melebihi RM500 juta.

Isu “land swap” membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan timbul selepas bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah kementerian itu dipindahkan kepada sebuah syarikat milik 3 individu tanpa tender terbuka.

Dakwaan itu dibuat oleh Rafidah dalam surat terbuka yang ditujukan kepada bekas perdana menteri Najib Razak bertarikh 8 April tahun lalu.

Beliau mendakwa semua tanah berkenaan dipajakkan selama 40 tahun kepada syarikat berkenaan untuk dibangunkan dengan pelbagai projek komersial.

Antara hartanah yang disebut Rafidah dalam surat terbuka itu ialah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan Kem Majidee di Johor Bahru.