Badan timbang tara antarabangsa persoal pelantikan pengarah AIAC

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Sebuah badan penyelesaian pertikaian antarabangsa menolak pelantikan peguam dari Putrajaya, Vinayak Pradhan sebagai pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), dengan alasan pelantikan itu yang berkuatkuasa pada 8 Mei lalu tidak dibicangkan.

Pradhan dilantik oleh Peguam Negara Tommy Thomas sebagai pemangku pengarah AIAC pada 21 Nov tahun lalu berikutan peletakan jawatan Sundra Rajoo, yang memimpin organisasi tersebut selama sembilan tahun.

Pradhan kemudian disahkan sebagai pengarah pada bulan Mei.

Pertubuhan Perundingan Undang-Undang-Asia Afrika (AALCO) iaitu badan induk AIAC, dalam satu surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong mengatakan bahawa di bawah Perjanjian Negara Tuan Rumah 2013, pelantikan itu perlu dirunding terlebih dahulu.

Dalam surat bertarikh 20 Nov, yang dilihat oleh FMT, Setiausaha Agung AALCO Kennedy Gastron berkata di bawah perjanjian tersebut, Pradhan bukan pemangku pengarah atau pengarah AIAC.

“AALCO memperbaharui permintaan bertulis sebelum ini kepada kerajaan Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai calon untuk jawatan pengarah,” katanya.

Beliau menambah, memandangkan kekurangan peruntukan yang jelas dalam perjanjian mengenai jawatan pemangku pengarah, pegawai paling kanan di AIAC yang sepatutnya mengambil alih semua tugas pentadbiran dan operasi sehingga pelantikan baru dibuat.