Dalang serangan Jambatan London pernah disabit keganasan

Usman Khan.

ANKARA: Suspek berusia 28 tahun yang dikenal pasti sebagai dalang yang melakukan serangan di London Bridge pernah didapati bersalah melakukan keganasan sebelum ini, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.

Polis Metropolitan London mengesahkan lelaki itu dikenali sebagai Usman Khan yang tinggal di Staffordshire, lapor agensi berita Anadolu.

“Suspek pernah disabitkan melakukan keganasan pada 2012. Dia dibebaskan pada Disember 2018 dengan parol, siasatan kini untuk mengenal pasti motif serangan di London Bridge itu,” kata Penolong Pesuruhjaya Operasi Khas Neil Basu dalam kenyataan.

Basu berkata suspek “ditembak oleh anggota unit khas” dan suspek maut di tempat kejadian.

Beberapa rakaman video yang tular di Internet menunjukkan suspek bergelut dengan orang awam sebelum ditembak anggota polis.

Polis sedang mengesan alamat tempat tinggal suspek yang menghadiri acara “Learning Together” yang diadakan di Dewan Fishmonger pada Jumaat.

“Kami percaya serangan bermula di dalam bangunan tempat berlangsungnya acara itu sebelum suspek bertindak keluar dan menuju ke London Bridge,” kata Basu.

Polis pada awalnya tidak secara aktif mengesan individu lain berkaitan dengan serangan itu, tetapi menegaskan pihak berkuasa bertindak pantas melakukan siasatan bagi memastikan tiada orang lain yang terlibat dalam serangan itu.

Beliau turut mengesahkan 2 orang meninggal dunia dalam serangan itu manakala 3 lagi masih dirawat di hospital.

Basu menggesa orang ramai untuk tidak menghampiri lokasi kejadian yang akan dikawal polis buat sementara waktu dan menggesa mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu untuk menghubungi polis.

Serangan itu berlaku tidak jauh dari Pasar Borough, lokasi di mana serangan pengganas yang membunuh 7 orang dan mencederakan 48 lagi yang berlaku pada Jun 2017.