Semua negeri setuju perketat undang-undang kahwin bawah umur, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, 7 negeri tidak bersetuju meminda undang-undang untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

KUALA LUMPUR: Walaupun tujuh negeri tidak bersetuju had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun, namun semua negeri di Malaysia bersetuju untuk memperketat undang-undang melibatkan perkahwinan bawah umur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, ia adalah satu permulaan ke arah penetapan had umur minumum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara pada masa akan datang.

“Tujuh negeri tidak setuju (had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun), tapi yang bagusnya mereka (semua negeri) setuju ‘standard operating procedure’ (SOP) yang diperundang-undangkan diperketat. Itu mereka setuju.

“Maknanya sesetengah negeri tidak bersetuju menetapkan had umur(perkahwinan), tapi bersetuju untuk ketatkan undang-undang itu. Ini bermakna ada harapan dalam usaha meyakinkan mereka bahawa adalah lebih baik kita menetapkan had umur 18 tahun sebagai satu ketetapan dalam undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan satu seminar akademik antarabangsa bertajuk “Menerokai Masa Depan Pendidikan: Konsep, metodologi dan Pragmatik” di sini, hari ini.

Mujahid berkata, kuasa meminda undang-undang bagi menetapkan had umur perkahwinan merupakan bidang kuasa negeri.

“Isunya ia terletak pada kuasa negeri. Saya tidak boleh beri jawapanlah, mereka (negeri) ada kuasa untuk menetapkan.

Dalam pada itu Mujahid berkata, tidak ada jangka masa tertentu ditetapkan berhubung perkara itu, walaupun rundingan yang turut melibatkan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan terus berjalan.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir dalam menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Menurutnya, draf berkenaan dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam bentuk memorandum pada hujung tahun ini.

Beliau yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, draf berkenaan membabitkan pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) bagi menaikkan had umur minimum wanita dibenarkan berkahwin kepada 18 tahun dan turut mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi kerajaaan persekutuan serta negeri.

Katanya, sehingga kini hanya Selangor telah meminda enakmen negeri yang berkaitan, sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

“Lima negeri lain yang bersetuju meminda enakmen masing-masing adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

“Masih terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan, iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan,” Wan Azizah memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini.