Surat SPRM kaitkan ahli PKR kepada projek, kata PKR

GEORGE TOWN: Dakwaan mengenai projek dan 2 ahli PKR yang dipecat baru-baru ini terkandung dalam surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Saifuddin mempertahankan penyingkiran ahli majlis pimpinan tertinggi, Zakaria Hamid dan ahli biasa, Ismail Dul Hadi, mengatakan tiada permohonan untuk tindakan yang betul selepas mendapat tahu tentang dakwaan rasuah.

Presiden Anwar Ibrahim, bercakap kepada pemberita di satu acara, mempertikaikan kandungan surat menuntut beliau memohon maaf atas pemecatan itu.

Menurutnya, 2 naib presiden yang menandatangani surat itu berkata draf yang dilihat mereka tidak menuntut permohonan maaf.

Dakwaan SPRM terhadap Zakaria melibatkan kontrak kerja awam bernilai RM20,000 kepada pemimpin PKR di kawasan Bera, manakala dakwaan terhadap Ismail melibatkan “kenaikan harga” bagi satu projek pada 2018, kata Saifuddin kepada pemberita.

Memetik surat SPRM, yang dihantar kepada parti pada 23 Okt, beliau berkata Zakaria didakwa memberitahu ahli bahawa projek itu sebahagian daripada peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM300,000.

“Pendakwa raya SPRM sudah pertimbangkan kes itu dan menyarankan tindakan diambil terhadap Zakaria dan Ismail mengikut kod tatatertib dan etika parti,” kata Saifuddin.

“Jadi, apa yang kami boleh buat? Ini laporan komprehensif daripada SPRM, selepas ia dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.”

Saifuddin berkata lembaga disiplin PKR mempertimbangkan surat SPRM “dan memutuskan kita perlu membuat suatu keputusan seperti yang disarankan SPRM”.

Beliau berkata kes seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini kes baru, kita tak pernah berdepan laporan oleh SPRM, beri kita butiran penuh, ulasan, dan dakwaan lain. Kita fikir tidak mahu tunggu mahkamah putuskan sebelum ambil tindakan,” katanya.

Saifuddin berkata beliau sudah menulis kepada Zakaria, dan beliau diberi tempoh 2 minggu untuk buat rayuan.

Selepas pemecatan 2 ahli PKR itu didedahkan minggu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki akui pihaknya terkhilaf menghantar surat itu kepada PKR.

Beliau berkata bukan tanggungjawab SPRM untuk menasihatkan parti politik.

Anwar pertikai

Anwar berkata 2 naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Tian Chua, pertikaikan kandungan surat menuntut Anwar memohon maaf atas pemecatan itu.

Surat itu, yang ditandatangani Timbalan Presiden Azmin Ali, disokong oleh 20 ahli majlis pimpinan pusat PKR.

Anwar berkata Sivarasa dan Chua, yang juga menandatangani surat itu, “tidak pernah setuju dengan bahagian meminta saya memohon maaf atas pemecatan itu, itu tidak ada dalam draf. Ini tidak boleh dibuat main-main. Tak semuanya benar.”

Anwar tidak membantah bahagian lain dalam surat itu yang menggesa lembaga disiplin pertimbang semula pemecatan itu.

“Bagi saya, PKR ditubuhkan untuk lawan salah guna kuasa dan rasuah.”

Anwar berada di Spice Arena untuk “Islam-Confucianism Civilisational Dialogue”, bersama Saifuddin dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.