Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,504 orang

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,504 orang

Setakat jam 1 tengah hari, 1,504 mangsa daripada 403 keluarga ditempatkan di 28 PPS di 6 jajahan seluruh negeri Kelantan.

Di Kota Bharu, seramai 278 mangsa banjir daripada 72 keluarga dipindahkan di 4 PPS, iaitu di SK Sri Ketereh, SK Buloh Poh, Islamic Outreach ABIM Kok Lanas dan SK Melor. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,504 orang membabitkan 403 keluarga sehingga pukul 1 tengah hari ini berbanding 389 orang pagi tadi apabila Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh mula dilanda banjir.

Menurut Info Bencana JKM, semua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di 6 jajahan di negeri ini dengan jumlah paling ramai mangsa di jajahan Pasir Mas membabitkan 665 mangsa daripada 182 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS.

Ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum (107 mangsa), PPS Putat Tujoh (39), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati (231), SK Kampung Baru (20) dan SK Sri Kiambang (7).

Selain itu, 6 mangsa masing-masing ditempatkan di SK Bakong dan SK Lubok Stol, Sekolah Menengah (SM) Perempuan Pasir Mas (55), SM Agama Qariah Banggol Stol (5), SK Kubang Kual (183) dan Madrasah Tasek Bakong (6).

Sementara itu, di Kota Bharu, seramai 278 mangsa daripada 72 keluarga dipindahkan di 4 PPS, iaitu 117 mangsa di SK Sri Ketereh, SK Buloh Poh (69), Islamic Outreach ABIM Kok Lanas (50) dan SK Melor (42).

Di Tanah Merah pula, seramai 186 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di 6 PPS, iaitu 39 mangsa di SK Kelewek, di SK Bukit Panau (2), SK Alor Pasir (40), SK Kulim (17), Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang (41) dan di Masjid Mukim Kuala Kepok (47).

Pasir Puteh juga mencatatkan sejumlah 337 mangsa daripada 89 keluarga yang ditempatkan di 6 PPS, iaitu Kompleks Dewan Kamil (151), SK Changgai (52), SK Bukit Jawa 2 (14), di SK Sungai Petai (7), di SK Kamil 1 (77) SK Wakaf Raja (36).

Sementara itu, seramai 45 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan ke 2 PPS di Machang iaitu 37 orang di SK Pak Roman dan lapan orang di SK Mata Air.

Di Bachok pula mangsa banjir yang dipindahkan seramai 106 orang membabitkan 21 keluarga di sebuah PPS iaitu di SMK Jelawat.

Dalam pada itu laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat melepasi paras bahaya, iaitu 10.35 meter (bahaya 9 meter), manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras amaran iaitu 2.23 (amaran 2.15 meter).

Empat sungai melepasi paras berjaga-jaga, iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai kepada 30.91 meter (berjaga-jaga 27 meter), Sungai Kelantan di Kuala Krai kepada 22.47 meter (berjaga-jaga 20 meter), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah kepada 13.79 meter (berjaga-jaga 12 meter) dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah kepada 22.26 meter (berjaga-jaga 21.5 meter).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.