Kanak-kanak 10 tahun buat laporan polis kerana lambat baiki basikal

Anda kini tidak lagi boleh berfikir yang kanak-kanak zaman sekarang tidak matang dan hanya tahu bermain sahaja.

Ini kerana tindakan mereka kadang-kala di luar kotak pemikiran sehingga berani membuat laporan polis kerana beranggapan dirinya telah dianiaya.

Satu kejadian berlaku di India dimana kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun membuat aduan polis gara-gara kelewatan sebuah kedai membaiki basikalnya.

Kanak-kanak bernama Abin telah pergi ke Balai Polis Meppayur bersama sekeping surat tulisan tangan bagi memaklumkan polis tentang hal tersebut.

Menurut laporan Aninews, surat tersebut bertarikh 25 November dan pelajar sekolah Elampilad UP di Kozhikode itu menyatakan dia dan adiknya menghantar basikal mereka untuk dibaiki di kedai berkenaan pada 5 September lalu.

“Mereka mengambil wang pendahuluan sebanyak 200 Rupee (RM11) namun setiap kali kami menghubungi mereka, mereka sama ada tidak menjawab panggilan atau memberitahu akan membaikinya secepat mungkin,” tulis Abin sambil menambah kedai itu tutup pada kebanyakan masa.

Atas sebab itu, ia telah memaksa dirinya untuk menulis surat bagi melaporkan kepada pihak polis.

Dalam surat itu juga menggesa agar pihak kedai tersebut mengembalikan basikal kepadanya dengan segera.

Susulan itu, pihak polis menghantar anggotanya bagi mengetahui punca sebenar kelewatan.

Tuan kedai dilaporkan terpaksa menutup kedai untuk sementara waktu kerana kesihatan yang tidak mengizinkan dan juga kesibukan menguruskan perkahwinan anak lelakinya namun berjanji akan segera membaiki basikal kanak-kanak itu.

Terkini, pihak polis berkongsi perkembangan kes itu di laman Facebook dan menyatakan basikal kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah dibaiki dan dihantar kepada mereka setelah lebih dua bulan tersadai.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]