Aznil tamat kemarau pingat 6 tahun

Muhammad Aznil Bidin beraksi dalam kategori 61kg lelaki akhir pada Sukan SEA Manila di Kompleks Sukan Rizal Memorial hari ini. (Gambar Bernama)

MANILA: Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin menamatkan penantian 6 tahun untuk meraih pingat pada Sukan SEA dengan kilauan gangsa.

Badang berusia 25 tahun dari Kedah itu, berjaya meraih podium dalam kategori 61kg lelaki selepas melakukan angkatan 283kg di Stadium Ninoy Aquino, di sini.

Juara Sukan Komanwel 2018 gagal dalam percubaan pertama bagi snatch untuk bebanan 123kg, tetapi berjaya mengangkat bebanan sama pada percubaan kedua dan 126kg pada percubaan ketiga.

Bagi clean and jerk pula, beliau berjaya mengangkat 157kg pada percubaan pertama, tetapi gagal dalam cubaan untuk 161kg dalam 2 angkatan seterusnya.

Lawannya bukan calang-calang atlet, dengan emas dibawa pulang pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016, Eko Yuli Irawan dari Indonesia dan perak menjadi milik Juara Dunia 2017, Thach Kim Tuan dari Vietnam.

Eko melakukan angkatan 309kg (140kg + 169kg), manakala peserta Vietnam itu mengangkat 304kg (135kg + 169kg).

Kejayaan itu seterusnya diharap menjadi pemangkin buat Aznil untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya meraih pingat selepas penantian lama. Selepas ini saya akan cuba melayakkan diri ke Tokyo dalam baki 2 kejohanan yang saya akan sertai.

“Saya perlu mendapatkan kedudukan 5 terbaik dalam 2 kejohanan peringkat Asia pada Februari dan April nanti. Saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.

Aznil menamatkan saingan di kedudukan keempat (56kg) pada edisi 2013 di Nay Pyi Taw dan 62kg di Kuala Lumpur 2017, manakala angkat berat tidak dipertandingkan pada 2015 di Singapura.