Bekas isteri Rusia sultan dakwa nyawa anak dalam bahaya

Rihana Oksana Voevodina diceraikan Sultan Muhammad V tahun ini. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Rihana Oksana Voevodina, bekas ratu cantik Rusia yang berkahwin dengan Sultan Muhammad V tahun lalu, mendakwa nyawa anaknya dalam bahaya.

Sebuah akhbar British melaporkan Oksana yang mendakwa Leon, 6 bulan, ialah anak kepada Sultan Kelantan, berkata rakannya dipanggil menghadiri satu mesyuarat di Rusia dan diberikan amaran ada orang “sangat berminat dengan kanak-kanak ini”.

Katanya, beliau diarah menarik balik satu tuntutan untuk menentukan identiti bapa kandung anaknya, menghentikan tuntutan nafkahnya dan tidak bercakap kepada media, jika mahu mengelakkan ancaman terhadap anaknya.

The Daily Mail mendakwa Oksana melarikan diri dari rumahnya di Moscow kerana bimbang dengan keselamatan anaknya, serta rakannya menemui seorang “wanita tidak dikenali” yang memberitahu “dia (Oksana) mempunyai ramai musuh tidak diketahui”.

Rakan Oksana merakamkan perbualan selama 40 minit itu, di mana dia diberikan amaran: “Oksana perlu fikir betul-betul apa yang dia sedang lakukan.

“Dia perlu mendapatkan sedikit masa, hidup kanak-kanak itu bergantung kepadanya. Ada orang yang sangat berminat dengan kanak-kanak ini dan dia amat kecil serta tidak dilindungi…Saya mempunyai maklumat dia (Leon) dalam bahaya dan keadaan bertambah buruk.”

Russia Today melaporkan penguat kuasa negara itu sudah memulakan siasatan ke atas dakwaan ancaman terhadap kanak-kanak terbabit.

Sebuah lagi akhbar, Komsomolskaya Pravda, memetik peguam Voevodina, Ivan Melnikov sebagai berkata, wanita dalam perbualan dengan rakan Voevodina itu berkata, nyawa Leon dalam bahaya dan Voevodina boleh mengelakkan ancaman itu dengan menarik balik tuntutan nafkah dan berhenti bercakap kepada media.

Voevodina memberitahu Pravda yang beliau tidak tahu siapa di sebalik ancaman itu, tetapi mesyuarat berkenaan diadakan di bangunan sama dengan pejabat peguam Rusia yang mewakili sultan.

The Daily Mail melaporkan istana Kelantan enggan mengulas dakwaan itu kerana ia tiada kaitan dengannya.