Kementerian Pertahanan fokus kerjaya kedua bagi veteran tentera

Liew Chin Tong berkata, sektor awam dan swasta digalak menyediakan kerjaya kedua bagi veteran tentera, khasnya mereka yang bersara pada usia 40-an. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan hari ini turut menumpukan usaha menyediakan veteran tentera dengan kerjaya kedua selepas mereka bersara bagi mengelakkan mereka bergantung sepenuhnya kepada pencen dan bantuan kerajaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan akan meneruskan skim kebajikan sedia ada, termasuk pencen bagi golongan pesara.

“Yang penting ialah kerjaya kedua untuk mereka supaya mereka boleh menyumbang kepada ekonomi kita secara efektif.

“Ini hala tuju di mana selain kebajikan, kita juga tumpukan kerjaya mereka,” katanya di lobi Parlimen selepas Dewan Rakyat meluluskan KPP hari ini.

Beliau menggalakkan sektor awam dan swasta menyediakan kerjaya kedua kepada veteran tentera, khasnya mereka yang bersara pada usia 40-an.

Sementara itu, Liew berkata, beberapa jawatankuasa akan ditubuhkan untuk memasukkan agensi lain bagi mengembangkan pelaburan dalam industri pertahanan.

Katanya, industri pertahanan digalak menghasilkan inovasi berkaitan keselamatan dan pertahanan untuk Angkatan Tentera Malaysia serta kegunaan awam.

“Kalau negara tak begitu besar, kita tak boleh ‘sustain’ skala ekonomi besar untuk satu industri mampan kalau hanya dijual kepada Mindef (Kementerian Pertahanan).”

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membentangkan kertas putih mengenai pelan pertahanan Malaysia bagi 10 tahun akan datang yang antaranya memfokuskan ancaman keganasan semakin meningkat, ketegangan ketenteraan di Laut China Selatan, serangan keselamatan siber, peningkatan kes penyeludupan manusia dan dadah.

KPP turut menyentuh Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan yang akan dipengerusikan perdana menteri, manakala Jawatankuasa Reformasi Pertahanan pula akan dipengerusikan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan dan ketua ATM.