Kenapa masih tidak cukup duit setiap bulan?

Kewangan merupakan perkara penting yang memerlukan perancangan dengan lebih baik.

Jika tidak anda akan mempunyai masalah berterusan setiap bulan iaitu tidak mempunyai lebihan apatah lagi simpanan.

Akhirnya anda akan mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang ringgit dengan berhutang keliling pinggang, akhirnya anda tidak mampu untuk membayar.

Oleh itu anda perlu kenal pasti beberapa punca yang menyebabkan anda sering ”sakit kepala” setiap bulan :

1. Tiada Simpanan kecemasan

Jika mengikut cara simpanan yang betul, anda hendaklah membuat simpanan sebanyak tiga ke enam bulan gaji sebagai tabung kecemasan. Namun mengikut kajian lebih 80% rakyat Malaysia tiada simpanan tersebut walaupun RM1,000.

Anda perlu tahu bahawa ia perkara penting dalam kehidupan. Ini kerana, kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Mungkin anda ataupun ahli keluarga akan ditimpa penyakit atau kemalangan. Jadi anda sudah ada tabung kecemasan untuk digunakan.

2. Tidak dapat membezakan di antara keperluan dan kehendak

Ini juga satu punca utama yang menyebabkan anda mengalami masalah kewangan. Boleh dikatakan lebih 60% pembeli menyatakan bahawa mereka membeli mengikut keinginan dan bukannya keperluan.

Dalam hal ini anda perlu bijak dalam merancang perbelanjaan supaya ia tidak akan memudaratkan diri sendiri pada masa hadapan.

Tips yang anda boleh gunakan adalah senaraikan barang-barang yang anda mahu beli. Kemudian, tanya pada diri, adakah ini keperluan atau keinginan?

3. Tidak tahu aliran wang keluar

Sebaiknya, anda perlu mengetahui setiap aliran wang yang telah dibelanjakan. Ini adalah untuk memudahkan anda melakukan perancangan terhadap perbelanjaan yang ingin dilakukan.

Kebanyakan daripada kita menggunakan telefon pintar pada masa kini, tidak kiralah sama ada menggunakan platform Android atau Apple. Aplikasi sebegini dapat membantu anda mengenai pasti aliran wang masuk dan keluar pada setiap hari. Pada setiap minggu dan bulan, anda boleh mengetahui pola perbelanjaan dan seterusnya mengurus perbelanjaan dengan lebih baik.

Jika anda tidak menggunakan telefon pintar, anda boleh mengambil masa selama 5-10 minit setiap hari sebelum tidur untuk mencatat perbelanjaan anda. Percayalah, anda akan lebih tenang untuk membelanjakan wang kelak.

4. Citarasa melebihi kemampuan

Setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah berpadanan dengan kemampuan anda. Jangan terlalu mementingkan citarasa kerana ia pasti akan memudaratkan.

Kini ia lebih mudah kerana anda hanya boleh membeli belah melalui aplikasi dalam talian sahaja.

Namun anda perlu bertanya kembali, adakah dengan memakai barangan berstatus tinggi ini akan membuatkan anda tentang dan tidak stress kerana akhir ya tidak cukup wang?

Jika anda tenang, tidak terbelenggu kerana masalah melangsaikan hutang, itu petanda kemampuan anda mengikut citarasa. Jika sebaliknya, anda harus mula mengukur baju di badan sendiri. Bukankah hidup lebih tenang jika hidup anda tidak dibelenggu oleh hutang yang menimbun?

5. Sukar menolak tawaran

Mungkin anda bukan seorang yang boros, tetapi anda merupakan seorang yang sukar untuk menolak tawaran jualan terutamanya daripada penjual di kalangan rakan-rakan atau ahli keluarga.

Anda perlu faham, matlamat akhir seorang penjual ialah untuk memastikan barangannya terjual. Ada penjual yang tidak mempedulikan apa-apa jua alasan yang diberikan oleh pelanggan.

Justeru, anda perlu bijak untuk mengawal situasi dan emosi ini supaya ia tidak membebankan anda kelak. Belajar untuk katakan tidak dan menolak dengan cara baik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]