Laporan audit kesan lewat bayar pembekal, hantar baja dalam skim subsidi pesawah

Laporan audit kesan lewat bayar pembekal, hantar baja dalam skim subsidi pesawah

Ketua audit negara turut mendapati berlaku kelewatan menandatangani kontrak serta isu kualiti benih padi dalam Skim Subsidi dan Insentif Pesawah.

Laporan Ketua Audit Negara mendapati wujud kawalan dalaman lemah dalam pendaftaran pesawah yang menyebabkan ketirisan dalam pelaksanaan pemberian subsidi dan insentif kepada golongan sasar.
KUALA LUMPUR:
Pengurusan Skim Subsidi dan Insentif Pesawah bagi meningkatkan bekalan beras negara tidak dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2.

Laporan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan kelemahan dalam pelaksanaan pendaftaran pesawah, pemberian subsidi dan insentif kepada golongan sasar, isu kualiti benih padi, kelewatan pembayaran tuntutan pembekal, menandatangani kontrak dan penghantaran baja.

Ia antara penemuan audit ke atas Skim Subsidi dan Insentif Pesawah dari Januari hingga Ogos lalu untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi memenuhi keperluan negara.

Bagaimanapun, pengeluaran hasil padi bagi 2016 hingga 2018 didapati tidak mencapai sasaran tahunan yang ditetapkan.

Pengeluaran hasil padi tahunan menurun antara 2.7 (1.4%) hingga 2.57 juta tan metrik (8.5%) bagi tempoh sama. Purata produktiviti padi bagi tempoh sama juga tidak mencapai sasaran ditetapkan, iaitu 3.7 tan metrik sehektar berbanding 5 tan metrik sehektar.

Perkara ini berlaku disebabkan penurunan keluasan penanaman padi, kualiti benih padi merosot dan serangan penyakit tanaman padi. Bagaimanapun, purata kekerapan penanaman padi yang dicapai adalah 1.75 kali melepasi sasaran 1.57 kali.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan sasaran tahap sara diri (SSL) bagi 2016 hingga 2018 adalah 85%, 80% dan 80%.

“Pihak audit mendapati SSL yang ditetapkan tidak dapat dicapai bagi 3 tahun berturut-turut dengan penurunan antara 7.6% hingga 14.7% disebabkan penurunan pengeluaran hasil padi dan produktiviti padi sehektar.”

Secara keseluruhannya, laporan ketua audit itu merumuskan pengurusan Skim Subsidi dan Insentif Pesawah bagi meningkatkan bekalan beras negara tidak dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan.

“Ini kerana kawalan dalaman yang lemah dalam pendaftaran pesawah. Kelemahan ini menyebabkan berlakunya ketirisan dalam pelaksanaan pemberian subsidi dan insentif kepada golongan sasar.

“Selain itu, berlaku kelemahan dari segi kelewatan pembayaran tuntutan pembekal, kelewatan menandatangani kontrak, isu kualiti benih padi dan kelewatan penghantaran baja.”

Justeru, laporan itu mengesyorkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menilai semula sistem ePadi untuk memastikan kawalan mantap agar pangkalan data adalah utuh bagi memastikan pesawah berdaftar adalah individu layak, selain menyeragamkan sistem pengurusan subsidi dan insentif sedia ada di setiap agensinya.

“Kementerian juga perlu menjalankan siasatan terhadap isu pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah yang meninggal dunia dan nombor kad pengenalan penerima tidak wujud atau tidak lengkap, tetapi masih menerima subsidi serta mengambil tindakan segera ke atas tuntutan denda terhadap baja yang tidak mengikut spesifikasi dan kelewatan pembekalan baja supaya dapat dikenakan kepada pembekal pada tahun semasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.