Malas pergi kerja, atasi ‘Monday Blues’ dengan beberapa cara

Badan anda rasa “lemau” bila muncul sahaja hari Isnin? Anda tidak berseorangan.

Fenomena “Monday Blues” tidak asing lagi pada mereka yang bekerja/bersekolah.

Ia merupakan stres berkaitan dengan tempoh peralihan daripada hari tidak bekerja kepada hari bekerja.

Jika anda sering berasa tidak bersemangat apabila tibanya hari Isnin, ikuti tip ini untuk mengetahui cara mengatasi perasaan tersebut.

Kenapa anda benci hari isnin?

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh laman web Gallup pada tahun 2015, hanya 32% pekerja di Amerika Syarikat yang betul-betul memberikan komitmen terhadap kerja masing-masing.

Penerangannya cukup mudah, jika anda tidak suka kerja yang anda buat sekarang, anda akan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami fenomena psikologi Monday Blues.

Jika setiap hari anda merasakan perasaan yang sama, lebih baik anda membuat pertimbangan sama ada hendak mencari kerja yang anda suka atau terus bekerja dalam bidang anda sekarang.

Namun adakah Monday Blues hanya mempengaruhi mereka yang tidak suka pada kerja mereka sahaja?

Kajian oleh pengeluar makanan Marmite di United Kingdom telah mendapati bahawa mereka yang berusia di antara 45 hingga 54 tahun sering menjadi mangsa kepada fenomena ini.

Fenomena Monday Blues ini mempunyai presentasi yang pelbagai bergantung kepada individu yang terlibat.

Ada yang lambat tiba di pejabat, ada yang menjadi kurang produktif sepanjang hari dan ada juga yang hanya mula tersenyum seawal 11.16 pagi.

Ia menunjukkan kesan psikologi tempoh peralihan hari cuti kepada hari bekerja terhadap tahap produktiviti pekerja. Sekejap.

Bagaimana pula dengan mereka yang cuti pada hari Jumaat dan Sabtu seperti mereka yang bekerja di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu? Tiada bezanya.

Menurut satu kajian yang diterbitkan di Journal of Positive Psychology pada tahun 2012, dapatan perubahan mood individu pada hari Isnin sehingga Khamis tidak menunjukkan kesan yang ketara.

Perubahan mood yang signifikan hanya dapat disaksikan sehari sebelum tiba cuti hari minggu.

Ada juga kajian yang dijalankan oleh universiti berbeza yang menunjukkan fenomena Monday Blues lebih ketara pada hari selain daripada hari Isnin.

Senang cerita, jika esok kerja, atau esok kerja bertimbun, maka ber “Monday Blues” lah kita.

Cara atasi Monday Blues

Anda boleh mengambil beberapa cadangan yang akan penulis kemukakan di bawah bagi meringankan beban emosi anda pada hari Isnin:

  • Jaga waktu tidur di hujung minggu: Menurut pakar perubatan tidur, Dr Gregory Carter, mereka yang ingin “ganti” tidur pada hujung minggu digalakkan untuk tidur awal dan bangun pada waktu yang sama. Ini kerana jika anda tidur melebihi masa anda bangun pada hari bekerja, ritma sirkadian anda akan terganggu. Ini seterusnya akan mempengaruhi jam biologi individu menyebabkan rasa susah untuk bangun pada hari isnin.
  • Makan coklat: Kajian yang dijalankan pada tahun 2013 oleh Astrid mendapati bahawa coklat boleh membuatkan anda berasa lebih gembira. Ia mengandungi hormon serotonin dan boleh merangsang perembesan endorfin.
  • Rancang percutian anda: Jika anda tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk bercuti, masa untuk mencari destinasi menarik. Ini merupakan salah satu cara yang berkesan bagi mengalihkan perhatian individu daripada fenomena Monday Blues.

Monday Blues mungkin nampak teruk namun ia bergantung kepada individu.

Jika anda suka dan berminat dengan kerja yang anda buat sekarang, kesan psikologikal Monday Blues tersebut berkemungkinan akan berkurangan. Amalkan tip yang diberikan.

Moga-moga hari isnin (Ahad buat 4 negeri yang disebutkan di atas) menjadi permulaan kepada minggu yang produktif buat kita semua.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]