Malaysia belasah Timor Leste 4-0

Hadi Fayyadh Abdul Razak menjaringkan gol ketiga negara dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA ke-30 di Stadium Memorial Rizal, di Manila, malam ini. (Gambar Bernama)

MANILA: Pasukan bola sepak lelaki Malaysia akhirnya menemui rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Timor Leste 4-0 pada aksi peringkat Kumpulan A, Sukan SEA ke-30 di Stadium Memorial Rizal, di sini malam ini.

Pengendali pasukan Bawah (B) 22 tahun negara, Ong Kim Swee kembali menyenaraikan 2 bintang skuad B-18 negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Umar Hakeem dalam kesebelasan utama, manakala tempat Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang mengalami kecederaan buku lali, diisi Mohamad Faisal Abdul Halim.

Turun dengan misi wajib menang besar untuk mencerahkan peluang ke pusingan separuh akhir, skuad negara bermula garang, namun pemain Timor Leste, Filomeno Junior da Costa menghadiahkan gol kepada Malaysia, apabila tertendang bola ke dalam gawang sendiri seawal minit ke-5.

Penyerang yang beraksi untuk kelab Fagiano Okayama di Liga J2 Jepun, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menggandakan jaringan selepas menyempurnakan hantaran pendek Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-34 yang gagal dihalang barisan pertahanan Timor Leste.

Sepuluh minit kemudian, pemain berusia 19 tahun itu merebut peluang dengan menolak masuk bola melantun daripada percubaan Faisal yang terkena tiang.

Bersambung babak kedua, Kim Swee membawa masuk Akhyar dengan mengeluarkan Faisal.

Keputusan itu menyaksikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan menyempurnakan hantaran baik pemain gantian, R Kogileswaran Raj pada minit ke-81 untuk mengesahkan kemenangan 4-0.

Malaysia membuka kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar pada Isnin lalu, sebelum dikejutkan dengan kekalahan 0-1 oleh tuan rumah, Filipina pada Jumaat lepas, manakala Timor Leste dibelasah Kemboja 5-0, sebelum tewas 1-3 kepada Myanmar.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A malam ini, Myanmar mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kemboja di Stadium Bola Sepak Binan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Skuad negara dijangka menerima cabaran sengit menentang Kemboja pada Rabu ini, apabila kedua-dua pasukan bakal merebut peluang ke pusingan separuh akhir, namun ia bergantung kepada keputusan aksi di antara Filipina dan Timor Leste.

Menerusi kemenangan ini, Malaysia kini menduduki tempat ketiga berdasarkan perbezaan jaringan walaupun berkongsi 4 mata bersama Kemboja yang berada di kedudukan kedua dan Filipina di tempat keempat, manakala Myanmar berada di kedudukan teratas dengan 10 mata.