Pembedahan pertama hilangkan tanda lahir ‘batman’ berjaya

Seorang bayi berusia lapan bulan berjaya melalui pembedahan pertama membuang tanda lahir menyerupai topeng “Batman”.

Pembedahan itu dilakukan sekumpulan doktor di Rusia.

Luna, yang dilahirkan di Florida, Amerika Syarikat dibawa ibunya, Carol Fenner, ke Rusia bertemu Dr Pavel Popov bagi menjalani rawatan membuang tisu kulit berwarna hitam pada mukanya.

Carol, 36, berkata dia bersetuju membawa Luna ke Rusia kerana doktor pakar di negara itu menjanjikan teknik rawatan terbaru bagi membuang tanda lahir di wajah anaknya yang tidak menyakitkan.

Daily Mail melaporkan, bagi rawatan pertama itu, doktor berjaya membuang lapisan tanda lahir pada dahi Luna.

Carol mengakui rawatan Luna di Rusia itu tidak menyakitkan berbanding jika melakukan rawatan di Amerika.

“Hasil rawatan di dahi Luna sangat menakjubkan dan kini saya yakin keputusan untuk datang ke Rusia adalah tepat,” katanya.

Menurutnya, dia bersama Luna akan pulang ke Florida untuk menyambut Krismas sebelum kembali ke Rusia untuk rawatan seterusnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]