Pengemis moden… ‘Bank-in’ jika tiada tunai

Pengemis atau peminta sedekah bukanlah perkara asing dimana-mana negara.

Mereka akan berjalan di merata tempat bagi mendapatkan belas ihsan daripada orang ramai untuk mendapatkan wang.

Terdapat pelbagai cara yang mereka akan lakukan, antaranya bermain muzik di jalanan, menjual makanan atau tisu dan macam-macam lagi.

Sumbangan tersebut juga tidak meletakkan had berapa banyak yang anda perlu hulurkan kerana ia mengikut kemampuan masing-masing.

Walaupun anda menghulurkan bantuan sekecil RM1, mereka ini kebiasaannya akan mengucapkan “semoga tuhan merahmati anda” kerana masih lagi mempunyai niat untuk membantu mereka.

Namun cara mereka kini sudah berbeza dan lebih moden untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai.

Dalam perkongsian Facebook Fazil Irwan, rakannya telah didekati seorang pengemis di China dan wanita tersebut meminta wang, namun rakannya memberitahu tidak membawa wang tunai.

Bagaimanapun, jawapan pengemis tersebut di luar jangkaan apabila mencadangkan kepada rakan tersebut supaya wang sedekah dibuat melalui aplikasi WeChat Pay.

“Pengemis berkenaan memberitahu tidak mengapa, anda boleh membayar melalui WeChat. Begitulah katanya,” kata Fazil dalam posting tersebut.

Fazil turut berkongsi gambar kejadian tersebut yang kini tular di media sosial dengan 22,000 tanda suka, 15,000 pengguna alam maya berkongsi gambar tersebut dan rata-rata netizen terkejut serta tidak menyangka urusan mengemis juga turut digunakan dalam aplikasi WeChat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]