18 tahun boleh undi pada Julai 2021, kata SPR

Rakyat berusia 18 tahun ke atas akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik selepas pindaan undang-undang siap pada 2021.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan pindaan undang-undang untuk membenarkan rakyat berusia 18 tahun mengundi selesai menjelang Julai 2021.

“SPR sedang meminda undang-undang pendaftaran pengundi dan akta lain yang berkaitan, prosedur operasi standard dan infrastruktur untuk melaksanakan undang-undang bagi 18 tahun mengundi dan sistem pendaftaran pengundi automatik.

“Kami menganggarkan semua ini selesai antara 18 hingga 24 bulan dari tarikh pindaan diluluskan Dewan Rakyat pada 25 Julai lalu. Kami jangka tarikh pelaksanaan menjelang Julai 2021,” kata Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun selepas menemui parti politik dan NGO Sabah di sini, hari ini.

Katanya, antara kebimbangan yang dibangkitkan dalam pertemuan hari ini termasuk persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pengundi memiliki kad pengenalan palsu.

Beliau berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak akan dilakukan buat masa ini kerana ia baru dilaksanakan baru-baru ini.

“Mengenai isu kad pengenalan, kami sudah berbincang dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri berhubung perkara itu.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin mengenal pasti 16,000 kad pengenalan dikeluarkan secara salah dan kami sudah mengeluarkannya daripada daftar pemilih kami,” katanya sambil menambah ia dilakukan sebelum beliau dilantik mengetuai SPR.