7 Pemuda bahagian dakwa tidak dibenar hadir Kongres Nasional PKR

Dzahiruddin Abdul Nasir (3 dari kanan) bersama 7 ketua bahagian dan ahli yang hadir ke RoS hari ini.

PUTRAJAYA: Kira-kira 60 Pemuda PKR dari 7 bahagian melibatkan 4 negeri mendakwa dinafikan hak untuk menghadiri Kongres Nasional PKR 2019, hujung minggu ini.

Naib Ketua Pemuda bahagian Kelana Jaya, Muhammad Dzahiruddin Abdul Nasir berkata semakan dibuat ke atas laman web parti, namun sehingga pagi ini nama mereka tidak tersenarai sebagai perwakilan.

“Kami telah laksanakan tanggungjawab dengan menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan AMK dan memilih perwakilan ke kongres nasional.

“Malangnya sehingga pagi tadi, kami buat semakan terakhir maklumat perwakilan masih tidak dikemaskini,” katanya kepada FMT ketika ditemui, hari ini.

Tujuh bahagian yang terlibat ialah Kuala Selangor, Sepang, Kelana Jaya, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Bentong.

Terdahulu, 7 ketua Pemuda bahagian itu membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung perkara tersebut.

Dzahiruddin berkata, dalam laporan itu pihaknya meminta JPPM menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 untuk mengambil tindakan ke atas kepimpinan Pemuda yang cuba menyekat suara perwakilan.

Beliau berkata pihaknya menyedari perkara itu apabila menerima aduan daripada beberapa bahagian yang memberitahu nama mereka tidak terdapat dalam senarai.

“Setakat ini, semua perwakilan daripada 7 bahagian ini tidak tersenarai. Kita masih semak lagi mana-mana bahagian lain yang tidak tersenarai,” katanya.

Kongres Pemuda PKR kali ini mencetus kontroversi apabila perasmi asal yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dibatalkan pada saat akhir dan digantikan dengan penasihat parti, Wan Azizah Wan Ismail.

Keadaan semakin panas apabila kedua-dua kem presiden dan timbalannya berbalas kenyataan malah dipercayai pada hujung minggu ini akan berlangsung pertemuan sebahagian ahli PKR di Kuala Lumpur meskipun kongres nasional parti dijadualkan di Melaka.