Abu Chin Peng: Pejabat Liew akan lapor polis artikel Raja Petra

PETALING JAYA: Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong akan membuat laporan polis terhadap artikel penulis blog, Raja Petra Kamaruddin tentang abu mayat pemimpin komunis, Chin Peng.

Ia menepis artikel “The Fake Ashes of Chin Peng” bertarikh 3 Dis 2019 sebagai fitnah, mengatakan artikel itu mendakwa tindakan membawa masuk abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu perancangan Liew.

“Timbalan menteri pertahanan tidak pernah membuat sebarang komen tentang perkara terbabit dan memandang serius tulisan fitnah Raja Petra,” katanya dalam kenyataan.

Ia juga meminta semua pihak bertenang dan tidak menyebarkan artikel tersebut.

Abu mayat Chin Peng menjadi perbualan selepas media melaporkan abu bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu dibawa masuk ke negara ini dan ditabur di laut berhampiran Lumut, Perak dan di banjaran Titiwangsa.

Pendedahannya pada 26 Nov lalu mengundang kemarahan beberapa pihak dan membawa kepada siasatan polis.