Acara sukan tertangguh akan berlangsung sebelum majlis penutupan Sukan SEA

Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pihaknya mempunyai pelan kecemasan untuk kontinjen negara yang terkandas sama ada mahu berlepas ke Filipina atau pulang ke Malaysia akibat badaian Taufan Kammuri. (Gambar Reuters)

MANILA: Sekurang-kurangnya 11 acara sukan terpaksa ditangguhkan selepas terdapat laporan Taufan Kammuri sedang melanda beberapa kawasan di Filipina.

Perkara itu disahkan Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA ke-30, Ahmad Faedzal Md Ramli yang berkata, penangguhan itu mengambil kira nasihat pihak berkuasa Filipina mengenai laluan angin Kammuri.

Katanya, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) memberi jaminan acara sukan yang tertangguh tetap akan berlangsung sebelum majlis penutupan rasmi pada 11 Dis ini.

“Untuk kluster South Luzon dan La Union (Solu) papan selaju, hoki dalam air dan polo ditangguhkan sementara waktu. Kemudian di kluster Clark pula acara petanque ditangguhkan.

“Manakala bagi cluster di Subic, sepak takraw, kanu, kayak, bot tradisi, muay dan luncur angin ditangguhkan sementara waktu sehingga dimaklumkan penganjur,” katanya.

Penangguhan acara sukan turut membabitkan lokasi di Metro Manila, namun hanya melibatkan satu acara menembak “benchrest”.

Sementara itu, mengulas nasib kontinjen negara yang terkandas sama ada yang mahu berlepas ke Filipina atau pulang ke Malaysia, Faedzal berkata, pihaknya mempunyai pelan kecemasan bagi menangani situasi berkenaan.

“Kita sekarang berhubung rapat dengan Malaysia Airlines untuk memastikan semua penerbangan dapat dilaksanakan esok, saya dimaklumkan Malaysia Airlines mungkin menyediakan kapal terbang lebih besar untuk memuatkan atlet kita atau mungkin membuat penerbangan tambahan.

“Begitu juga bagi penerbangan pulang, contoh seperti bola jaring sepatutnya dah pulang, tetapi kami buat sedikit pertukaran untuk menjaga kebajikan mereka semua dan hanya akan membenarkan mereka pulang bila semuanya disahkan selamat.”

Antara atlet yang dilaporkan terkandas untuk berlepas ke Manila ialah sukan terjun, olahraga, gimrama, dan e-sukan.

Selain bola jaring, pasukan bola sepak wanita, triathlon dan skuad berbasikal dilaporkan antara kontinjen yang terpaksa menangguhkan penerbangan pulang hari ini.